Seperti yang saya katakan semasa pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Mas Gading di Lundu pagi ini, lagu negara Malaysia, lagu negeri Sarawak, dan lagu parti DAP mempunyai satu persamaan – mereka mencerminkan kepelbagaian dan perpaduan sebuah masyarakat majmuk di mana pelbagai kaum, agama, dan budaya bekerjasama dan hidup bersama untuk mencipta persefahaman, toleransi, dan keharmonian.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang sedang melawat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat, mengatakan yang Malaysia ada potensi yang besar untuk bangkit semula sebagai sebuah ekonomi yang dinamik.
Dia mengatakan yang Malaysia ada sumber dan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan, selain dari mempunyai dasar-dasar seperti Ekonomi Madani, Rancangan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), dan Rancangan Utama Industri Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk menyokong usaha-usaha ini.
Bercakap dalam satu majlis makan malam bersama rakyat dan para pelajar Malaysia di AS, Anwar mengatakan yang kerajaan perpaduan sedang mencari cara untuk menarik rakyat Malaysia yang berbakat untuk pulang dan menyumbang kepada negara.
Anwar bercakap mengenai visi untuk masa hadapan Malaysia supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia, yang merupakan satu perkara yang tidak ada dalam tiga tahun yang lepas, ketika mana Malaysia ada dua Perdana Menteri, kerana tumpuan para pemimpin politik ketika itu adalah isu-isu 3R – bukannya untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya, sebaliknya untuk memisahkan mereka.
Kita perlu menarik rakyat Malaysia yang berbakat untuk pulang menjadikan negara kita sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita perlu pastikan dasar dan rancangan kita tidak membawa kepada Diaspora Malaysia kedua, kerana lebih sejuta rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke luar negara dalam Diaspora Malaysia pertama sebelum ini telah memberikan kesan yang amat besar dalam menyekat usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat dunia.
Salah satu ciri-ciri unik Malaysia adalah kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya kita, yang bukan sahaja dicerminkan dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara, tetapi juga dalam semua rancangan dan dasar-dasar negara, baik Wawasan 2020 atau projek Multi Super Corridor.
Kerana itulah Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, bercita-cita untuk melihat Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Saya seru kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau budaya, untuk menjadikan Malaysia salah satu dari 20 negara terbaik dunia dan menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Jadikan visi untuk Malaysia menjadi salah satu dari 20 negara terbaik dunia menjadi satu cabaran yang disahut oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, budaya, atau kawasan.