Skip to content

Seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus mengejar Impian Malaysia, di mana Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya dapat menjadi contoh persefahaman, keharmonian, dan keamanan antara kaum, agama, dan tamadun

Saya kembali ke Melaka semalam bersama dengan anak saya, Guan Eng, Hui Ming, dan Hui Ying untuk satu petang bersama dengan komrad yang telah berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan saya selama setengah abad sepanjang perjalanan politik saya sejak menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka pada tahun 1969.

Majlis yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong ini amatlah nostalgik, kerana ia mengingatkan saya semula kepada memori lampau pada tahun enam puluhan.

Saya menjadi seorang Ahli Parlimen ketika saya berusia 28 tahun dan perkara pertama yang berlaku kepada saya adalah saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya berada di Kota Kinabalu semasa rusuhan 13 Mei 1969 tercetus di Kuala Lumpur dan saya, seperti orang lain terkejut mengenai rusuhan ini.

Saya diberikan amaran yang saya berada dalam senarai orang untuk ditahan di bawah ISA dan saya dinasihatkan oleh ahli keluarga, komrad parti, dan rakan-rakan untuk tidak kembali ke Kuala Lumpur, sebaliknya untuk kekal berada di luar negara sehingga krisis politik ini selesai.

Saya tidak dapat menerima nasihat ini. Saya rasa bahawa saya baru sahaja dipilih sebagai seorang Ahli Parlimen oleh rakyat bandar Melaka dan apabila rakyat sedang berhadapan dengan krisis, saya patut bersama dengan mereka dan bukannya melarikan diri.

Saya pulang ke Kuala Lumpur dan ditahan di bawah ISA selama 17 bulan.

Ada tiga perkara yang menjadi tumpuan utama sepanjang tiga penggal khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka – kempen “Selamatkan Bukit China”, skandal kematian bayi di Hospital Melaka, dan yang paling penting sekali, usaha mengejar Impian Malaysia.

Saya perlu berterima kasih kepada bekas Ketua Polis Negara, Hanif Omar, yang berjaya menyahrasiakan satu dokumen polis yang sebelum ini dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada tahun 2020 apabila saya menyamannya – satu laporan soal siasat polis semasa saya ditahan selama 60 hari di lokap Balai Polis Kuala Selangor dari 54 tahun yang lepas.

Dokumen ini menunjukkan yang seawal 1969, kami telah mengejar Impian Malaysia. Berikut adalah apa yang saya katakan kepada pihak polis pada tahun 1969:

“83. Seperti mana-mana rakan-rakan dalam DAP, saya percaya:

(a) Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.

(b) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan, misalnya seperti yang dibawa oleh PKM, yang akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.

(c) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.

(d) bahawa kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.

(e) bahawa sosialisme demokratik boleh menutup jurang di antara mereka yang berada dan mereka yang tidak berada dari kalangan semua kaum.

(f) bahawa saya mahukan kerajaan yang bersih, jujur, efisien, berdaya tahan terhadap rasuah, dan berkesan.

(g) bahawa hanya demokrasi berparlimen sahaja yang boleh mengelakkan pertembungan perkauman. Sebarang bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka perkauman.

(h) bahawa komunisme tidak kondusif dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.”

Saya terus berpegang dengan konsisten kepada matlamat dan prinsip-prinsip Impian Malaysia ini sepanjang kerjaya politik saya dalam setengah abad yang lepas.

Pada tahun 1986, saya berpindah ke Tanjong untuk menjadikan Pulau Pinang negeri barusan hadapan dalam usaha mengejar Impian Malaysia.

Saya telah menjadi Ahli Parlimen di lima negeri, termasuklah Petaling di Selangor pada tahun 1978, Ipoh Timor di Perak untuk tahun 2004-2013, Gelang Patah untuk 2013-2018, dan Iskandar Puteri untuk 2018-2022 di Johor dan kelima-lima kerusi parlimen ini telah menjadi kubu kuat Impian Malaysia.

Tetapi, perkara ini tidak mencukupi, kerana kita tidak mahu lima atau 40 kerusi kawasan parlimen menjadi kubu kuat Impian Malaysia, sebaliknya kita mahu seluruh negara bersama-sama mengejar Impian Malaysia.

Namun, di sini bermulanya masalah.

Semasa DAP dianggap sebagai parti yang hanya menarik sokongan orang bukan Melayu, DAP diabaikan oleh parti-parti yang menarik sokongan dari kalangan orang Melayu.

Tetapi, apabila DAP dilihat sebagai mampu melangkaui sempadan perkauman dengan sendiri, DAP dituduh kononnya sebagai anti Melayu, anti Islam, anti Raja, komunis, dan kebelakangan ini, dituduh juga sebagai kononnya mempromosikan Islamofobia malah saya juga dituduh sebagai mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur dalam tempoh masa rusuhan tersebut.

Bagaimanakah DAP boleh menjadi anti Melayu, anti Islam, anti Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia sedangkan kami mahu menjadi sebuah parti politik yang mewakili suara semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, atau kawasan; apabila Lim Guan Eng mengorbankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan ke penjara untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur; dan saya tidak pernah memikirkan satu pun fikiran buruk terhadap orang Melayu atau Islam?

Tetapi, kita yang komited untuk mengejar Impian Malaysia perlu terus tabah. Tidak ada sebarang konspirasi dalam negara ini terhadap mana-mana kaum atau agama. Kita tidak mahu Malaysia jatuh ke kancah Perang Kaum atau Perang Agama.

Sebaliknya, kita mahu Malaysia untuk pulih dan menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.

Inilah cabarannya kepada semua rakyat Malaysia – untuk meneruskan usaha mengejar Impian Malaysia di mana Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya dapat menjadi contoh “Perpaduan dari Kepelbagaian” dan tauladan persefahaman, keharmonian, dan keamanan antara kaum, agama, dan tamadun kepada dunia.