Seperti yang kita sedia maklum, seluruh dunia sedang berusaha dalam menangani penularan Covid-19 sejak akhir tahun 2019. Kita berharap kemelut yang melanda akan pulih tidak lama lagi. Namun, sebelum hari tersebut tiba, patuhi SOP yang ditetapkan dan kekal selamat di mana sahaja. Kehidupan masih perlu diteruskan demi kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi yang lebih baik, termasuklah pendidikan anak-anak kita.
Penularan virus Covid-19 telah menyaksikan pelbagai kejutan – sempadan negara ditutup, perintah berkurung di bandar-bandar, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, kebiasaan pemakaian pelitup muka, larangan majlis sosial dan sebagainya. Dengan adanya teknologi, kita masih mampu berhubung di alam maya.
Pandemik yang melanda secara tidak langsung telah merangsang perkembangan transformasi digital dalam pelbagai industri termasuk pendidikan. Sistem pendidikan perlu diteruskan walaupun sekolah-sekolah ditutup. Keadaan ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pembelajaran jarak jauh yang akan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan untuk sesi pembelajaran secara bersemuka. Kaedah pembelajaran ini dapat meluaskan kawasan capaian pendidikan tanpa mengira lokasi dan waktu. Peningkatan pembelajaran elektronik (e-learning) akan memudahkan kanak-kanak yang juga antara golongan berisiko tinggi untuk mengakses pembelajaran dengan lebih baik.
Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kita sangat berbangga melihat sebilangan sekolah telah mengambil inisiatif sendiri dengan rancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sekiranya sesi pembelajaran secara bersemuka tidak dapat diteruskan. Contohnya, SMK Convent Pulau Tikus telah menganjurkan satu siri webinar antarabangsa untuk berkongsi amalan hijau di sekolah mereka dengan sekolah-sekolah dari Singapura, Australia dan Qatar. SJK(C) Union juga menggalakkan para pelajar untuk menghasilkan video rekaan sendiri di samping mempraktikkan konsep 5R di rumah.
Penglibatan orang awam dan sektor swasta boleh memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada sekolah atau komuniti yang mempunyai sumber pembiayaan yang terhad. Contohnya, para pelajar dan tenaga pengajar boleh mengakses bahan asas mengajar melalui dalam talian secara percuma. Sekiranya pembelajaran jarak jauh menjadi norma baharu selepas ini, kualiti dan tahap akses digital akan memainkan peranan penting dan perlu ditingkatkan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dari sektor industri seperti Intel dan Dell Technologies bagi membekalkan alat peranti digital kepada pelajar dan keluarga golongan B40 untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Program pembaikan semula alat eletronik (e-refurbishing) ke pembelajaran elektronik (e-learning) menggalakkan orang awam untuk mendermakan alat peranti digital mereka seperti komputer riba untuk dibaik pulih semula sebelum diberikan kepada pelajar yang memerlukan.
Seiring dengan tema D2 di dalam visi Penang2030 iaitu mengukuhkan mobiliti, penyambungan dan kemudahan digital, Penang Green Council melangkah setapak kehadapan dengan mentransformasikan Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang dan Insentif Tadika Hijau Pulau Pinang kepada bentuk digital pada tahun ini. Untuk maklumat lanjut berkenaan program, sila hubungi Puan Kimberly atau Puan Ashawani di talian 04-2503322.