DAP menyatakan kesedihan bahawa kematian COVID-19 di Pulau Pinang telah memecahkan rekod baru dengan 39 kematian harian pada 2 September 2020 menjadikan jumlah 636 kematian COVID-19 sejak pertama kali pandemik berlaku tahun lalu. Apa yang menyakitkan bagi keluarga yang sedang berduka adalah banyak kematian yang terjadi dalam 22 hari ini, mungkin dapat dielakkan sekiranya vaksin tiba lebih awal.
Tahun lalu hanya ada 9 kematian sementara untuk 2021, ada 627 kematian setakat 2 September. Yang lebih membimbangkan adalah, banyak kematian berlaku dalam 22 hari ini. Bagi tahun 2021, terdapat 258 kematian setakat 11 Ogos. Namun, 22 hari kemudian dari 11 Ogos hingga 2 September, jumlah kematian telah meningkat sebanyak 369 orang.
Dengan kata lain, jumlah orang di Pulau Pinang yang meninggal akibat COVID-19 dalam 22 hari ini adalah 1.5 kali ganda lebih banyak daripada mereka yang meninggal akibat COVID-19 selama hampir tujuh bulan setengah tahun ini. Angka yang mengerikan ini sekali lagi menunjukkan kehilangan nyawa yang tragis atas kegagalan Kerajaan Persekutuan dalam menangani pandemik COVID-19 dan kelewatan dalam perolehan dan penghantaran vaksin.
Ramai yang boleh berkongsi perasaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing yang ketika meratapi kematian adiknya akibat COVID-19, mengatakan bahawa adiknya mungkin masih hidup sekiranya vaksin tiba lebih awal. Walaupun rakyat sedar bahawa Kerajaan Persekutuan menanggung tanggungjawab atas pengurusan krisis ekonomi dan pandemik COVID-19 yang lemah, wakil rakyat PH juga turut dipersalahkan.
Terdapat keperluan untuk membezakan usaha EXCO Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan kegagalan kerajaan Persekutuan. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan negeri dipersalahkan oleh rakyat atas tindak balas COVID-19 yang gagal, terutama perkhidmatan sokongan yang lemah untuk pesakit positif COVID-19. Saya ingin menekankan bahawa kita memahami dan menghargai pengorbanan wira barisan hadapan negara, tetapi Kerajaan Persekutuan telah gagal dengan tidak menyediakan sumber dan tenaga yang mencukupi, termasuk memberi jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak.
Ketiadaan ambulans, tidak ada yang menjawab panggilan di talian hotline, kemudahan yang menyedihkan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), kekurangan sokongan kesihatan dalam menangani rawatan atau masalah dan bahkan bekalan vaksin yang tidak mencukupi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah aduan yang sering didengar. Pendekatan yang bersungguh-sungguh diperlukan bagi menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh EXCO Negeri Kesihatan Pulau Pinang adalah berbeza daripada Kerajaan Persekutuan.
Ramai yang mempersoalkan apa gunanya EXCO Kesihatan Negeri Pulau Pinang patuh mengikut apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan Pulau Pinang tidak mencapai vaksinasi dos pertama sebelum Hari Merdeka. Bandingkan Selangor yang telah mencapai 112% vaksinasi dos pertama bagi penduduk dewasa dengan 85.6% di Pulau Pinang atau 94.1% daripada populasi dewasa yang telah diberi vaksin penuh berbanding dengan 59% di Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri Selangor enggan bergantung sepenuhnya kepada janji Kerajaan Persekutuan dan terus membeli vaksin sendiri. Tidak seperti di Selangor, Pulau Pinang tidak mendesak secara agresif bagi melantik Penyelaras Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) yang dapat memudahkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam mengelakkan gangguan bekalan vaksin.
Sesiapa yang berani mengatakan bahawa Pulau Pinang telah melakukan yang terbaik dalam pertempuran melawan COVID-19 adalah mereka yang lari daripada kenyataan, memperkecil mereka yang meninggal akibat COVID-19, terutama 400 orang yang mungkin dapat diselamatkan sekiranya vaksin tiba lebih awal. Rakyat Pulau Pinang tidak memerlukan pembela Kerajaan Persekutuan tetapi pemimpin yang dapat memenuhi mandat pilihanraya mereka untuk mempertahankan dan bersuara demi kepentingan rakyat Pulau Pinang demi menyelamatkan nyawa yang berharga dan mata pencarian. Dengan melakukan segala usaha untuk menebus kelemahan atau kegagalan Kerajaan Persekutuan, barulah kerajaan negeri dapat menjawab kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat COVID-19.