Ketika kita dengan sedih memperingati ulang tahun kerajaan pertama yang tidak dipilih dalam sejarah, kita diperingatkan dengan kenyataan sebelum ini bahawa tindakan Perikatan Nasional (PN) menggulingkan kerajaan PH yang dipilih secara berperlembagaan, sebagai kemunduran abg teruk kepada demokrasi dan reformasi. Apa yang dikatakan setahun lepas telah terbukti benar dengan keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen setelah pengisytiharan Darurat, yang kononnya demi memerangi wabak COVID-19.
Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia yang percaya bahawa tindakan menggantung Parlimen dapat mengatasi COVID-19. Yang di-Pertuan Agong juga menolak alasan tersebut dalam satu kenyataan penting yang menafikan bahawa Proklamasi Darurat membenarkan usaha melemahkan demokrasi berparlimen oleh kerajaan PN.
Muhyiddin cuba untuk memberi alasan kewajaran kuasa darurat sebagai satu keperluan bagi membolehkan kerajaan menjatuhkan hukuman lebih keras terhadap mereka yang melanggar SOP COVID-19. Oleh kerana objektif ini telah tercapai, berikutan kenaikan denda kompaun yang melampau dan keras dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat, mengapa masih ada keperluan untuk mengekalkan Darurat dan menggantung Parlimen?
Selepas empat hari titah diraja yang menjelaskan bahawa Darurat tidak termasuk penggantungan Parlimen, kerajaan masih terus membisu dan masih tiada usaha dari Speaker Parlimen Azhar Harun untuk mengadakan mesyuarat Parlimen dengan secepat mungkin. Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh seperti ini adalah tindakan pengkhianatan terhadap demokrasi dan boleh dilihat sebagai penderhakaan terhadap Agong.
Penggantungan Parlimen tidak menghalang Malaysia, untuk menjadi negara ASEAN yang terburuk, dari segi per kapita, dengan jumlah 298,315 jangkitan COVID-19 dan 1,121 kematian pada 27 Februari 2021. Para menteri gagal memimpin dengan teladan apabila mereka secara terang-terangan melanggar SOP tanpa hukuman atau mengambil pendekatan dua darjat dengan hukuman yang lebih keras kepada rakyat biasa. Sekolah dibenarkan dibuka semula tetapi bukan Parlimen. Kegagalan kepemimpinan dan pengurusan krisis seperti ini adalah sebab utama mengapa Malaysia menjadi yang terburuk di ASEAN dalam memerangi COVID-19.
Sepanjang satu tahun ini, kedudukan negara Malaysia yang diukur melalui metrik sosial, ekonomi, politik atau institusi merosot dengan membimbangkan. Pertumbuhan KDNK keseluruhan untuk tahun 2020, menyusut sebanyak 5.6%, jauh lebih teruk daripada anggaran Belanjawan 2021 oleh kerajaan sebanyak -4.5%. Kadar pengangguran pada tahun 2020, meningkat kepada 4.5% yang terburuk sejak tahun 1993, dengan angka Disember pada 4.8% walaupun terdapat peningkatan perbelanjaan pengguna pada akhir tahun.
Purata pendapatan garis kemiskinan kebangsaan untuk isi rumah di Malaysia disemak semula dari RM 980 kepada RM2,208 sebulan pada tahun 2019. Dengan menggunakan metodologi baru, kadar kemiskinan mutlak Malaysia meningkat dari 7.61% pada tahun 2016 kepada 5.6% pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, dengan pengurusan yang lemah dan salah urus krisis ekonomi, jumlah ini dijangka akan meningkat.
Rakyat memerlukan pertolongan dan pakej rangsangan ekonomi yang berani dengan tambahan RM45 bilion diperlukan, di samping RM15 bilion yang diumumkan awal tahun ini. Sekurang-kurangnya, moratorium pinjaman bank perlu dilanjutkan secara automatik dan tanpa syarat, beban kos tetap seperti sewa dan utiliti perlu dikurangkan melalui subsidi, kredit pinjaman dan geran perlu dilanjutkan. Kami masih menunggu janji Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, yang harus diperluas kepada kumpulan penganggur.
Ketika kerajaan gagal yang tidak dipilih ini telah menambah buruk krisis kesihatan awam dengan salah urus pandemik COVID-19, jelas tiadanya fokus untuk menangani krisis ekonomi, krisis pengangguran dan krisis pendidikan yang terhasil sama. Berlatarkan semua ini dan tanpa disedari, apa yang berlaku adalah peningkatan rasuah yang meluas, di sebalik kemajuan menggalakkan yang dicapai oleh kerajaan PH dalam membendung rasuah.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menjadikan perang terhadap rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan. Namun, apa yang berlaku berbeza dengan retoriknya. Dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International, Malaysia turun 6 anak tangga ke kedudukan 57, berbanding kedudukan 62 pada 2017, 61 pada 2018 dan 51 pada 2019.
Jelas bahawa kurangnya penekanan terhadap tender terbuka dan ketelusan, pelantikan ahli politik untuk menggantikan golongan profesional dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik, pengguguran tuduhan jenayah terhadap pemimpin politik yang memihak kepada kerajaan PN, menggunakan jawatan kerajaan untuk membeli sokongan politik serta penyiasatan dan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik dikenal pasti sebagai penyebab utama kemerosotan ini. Tidak menghairankan jika kedudukan CPI Malaysia akan semakin menurun tahun ini.
Di bawah kerajaan PN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berhenti menjadi organisasi yang tidak berat sebelah, bebas dan profesional yang memerangi rasuah di peringkat tertinggi. SPRM mengambil enteng penurunan kedudukan Malaysia dalam Transparency International CPI dan tidak peduli dengan kerisauan bahawa mereka telah dijadikan senjata politik untuk kegunaan kerajaan PN.
Di antara beberapa kelemahan SPRM yang melibatkan penyalahgunaan kuasa adalah: –
- Perdana Menteri Muhyiddin dirakam secara audio, menawarkan jawatan dan kedudukan politik di GLC sebagai pertukaran untuk sokongan politik. Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa dia menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana ia tidak mengikut Perlembagaan;
- Kemampuan meragukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun untuk menyelesaikan tuntutan kebankrapan bagi hutang berjumlah RM1.3 juta, ketika dia hanya mengisytiharkan aset sebanyak RM72,000 pada 20 November 2019 dengan pendapatan bulanan sebanyak RM34,000;
- Bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan negeri Sabah sebelum ini telah memberikan 700,000 ekar tanah hutan simpan di bawah Yayasan Sabah atau Sabah Foundation kepada “kawan dan keluarga”;
- Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, menulis surat sokongan agar anaknya sendiri dilantik menjadi Lembaga Pengarah Pharmaniaga, sebuah syarikat di bawah pengawasan dan kuasa Kementerian Pertahanan. Menteri Pertahanan Ismail Sabri telah bersetuju dengan cadangan Timbalannya;
- Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menulis surat sokongan yang menyokong tawaran kontraktor untuk dianugerahkan projek lebuh raya besar di Kelantan melalui rundingan terus;
- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berjanji akan menggunakan jawatan kerajaannya untuk mengeluarkan surat sokongan sebagai pertukaran undi dalam pemilihan Pemuda Bersatu.
Jawatankuasa Parlimen Kira-kira Wang Negara (PAC) telah meminta tindakan SPRM setelah mendedahkan mantan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai telah memberikan kontrak bernilai RM149.5 juta dengan pemberian terus kepada syarikat yang sebahagiannya dimiliki (25%) oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng. Adakah SPRM akan terus berdiam diri dan berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu?
Pengguguran tuduhan rasuah terhadap tokoh politik utama dan rakan sekutu juga telah merosakkan komitmen PN terhadap ketelusan dan akauntabiliti. Pengarah Urusan dan Ketua Ekuiti Credit Suisse Malaysia, Stephen Hagger telah memberi amaran bahawa Malaysia akan semakin teruk sekiranya pemimpin dan tokoh politik yang korup boleh dilepaskan dari tuduhan rasuah kerana pihak pendakwaan dengan sendiri menggugurkan tuduhan walaupun terdapat bukti yang kukuh.
Tidak ada amaran seperti itu yang dikeluarkan oleh penganalisis kewangan ketika PH berkuasa. Jangan dilupakan, urus tadbir yang buruk disebut sebagai salah satu penyebab utama penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Ratings tahun lalu. PH tidak mengalami penurunan penarafan kredit negara walaupun bergelut dengan skandal kewangan besar 1MDB.
Dengan kemelesetan ekonomi yang berpanjangan, kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan serta penutupan sekolah yang disebabkan oleh salah urus pandemik COVID-19 oleh PN, Malaysia bukan hanya hidup dengan berbahaya, malah gagal menunggu rebah.
Ketidakstabilan politik hanya menambah buruk keadaan krisis Malaysia, berikutan kehilangan majoriti parlimen Muhyiddin. Penggantungan Parlimen tidak akan menghentikan tetapi hanya memanjangkan krisis. Bagi memecah kebuntuan politik, DAP ingin mencadangkan agar Parlimen dikembalikan dan semua parti politik memberi komitmen untuk menunda pilihan raya umum sehingga wabak global ini berakhir.
Sama ada ini bererti pilihan raya hanya akan diadakan selepas akhir penggal 2023 atau termasuk kemungkinan kerajaan sekarang digantikan oleh kerajaan lain yang mendapat sokongan majoriti, mentadbir kerajaan secara kompeten demi kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan. Malaysia tidak mampu terus gagal sehingga rebah menyembah bumi.