Pusat Rawatan Kecantikan & Kesihatan (SPA) merupakan satu industri yang berkembang pesat di negara ini. Kerajaan juga memberi fokus untuk mempergiatkan lagi industri ini melalui Economic Transformation Programme (ETP) Tourism di bawah Entry Point Project 9a Developing Local Expertise & Better Regulating the SPA Industry. Kerajaan mensasarkan untuk mencapai sumbangan Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM374.1 juta dengan peluang pekerjaan sebanyak 3540 pekerja mahir dalam tahun 2020.
Walaupun industri ini mempunyai potensi yang tinggi, tetapi terdapat banyak risiko yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan. Industri ini boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial jika tidak dikawal dengan secukupnya. Pusat-pusat SPA akan menjadi sarang maksiat untuk melakukan aktiviti-aktiviti pelacuran dan sebagainya. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kadar jenayah dalam negara malah akan menjejaskan nama negara kita di peringkat antarabangsa.
Memanag tidak dapat dinafikan bahawa industri SPA adalah antara produk pelancongan yang berorentasikan wellness tourism dan berpotensi untuk menarik pelancong ke Malaysia. Industri ini boleh menjadi penyumbang signifikan dalam perkembangan ekonomi negara. Tetapi, malangnya terdapat pihak-pihak tertentu cuba mengaut keuntungan lumayan melalui aktiviti-aktiviti tidak bermoral dan berselindung di sebalik lesen premis SPA. Ini telah membawa implikasi yang negatif terhadap industri ini.
Industri SPA dikawal selia oleh Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Setiap PBT mempunyai undang-undang kecil masing-masing dalam hal pengeluaran lesen SPA dan pusat urut. PBT mempunyai kuasa untuk menggantung atau membatalkan sesuatu lesen yang tidak mematuhi mana-mana perundangan yang berkuatkuasa.
Sejauh manakah pihak PBT menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan itu telah menjadi satu persoalan yang amat meragukan. Jika sekiranya, pihak PBT bertindak tegas dan melaksanakan penguatkuasaan, sudah pasti banyak pusat-pusat SPA yang disalahgunakan itu telah diberhentikan operasinya. Setakat ini berapakah jumlah SPA yang telah digantung lesen dan ditutup operasinya kerana terlibat dengan aktiviti-aktiviti haram yang bertentangan dengan undang-undang?
Selain daripada itu, undang-undang yang sedia ada juga tidak menjadi satu penghadang besar kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus melalukan aktiviti-aktiviti jenayah di pusat-pusat SPA. PBT diberi kuasa mengenakan kompaun tidak melebehi RM1000 sekiranya pemegang lesen melakukan kesalahan. Sekiranya ingkar, pemegang lesen boleh didakwa di Mahkamah dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM2000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Adakah hukuman melalui undang-undang ini memadai untuk membendung aktiviti-aktiviti haram ? Jika keuntungan yang diperolehi adalah berlipat kali ganda, tidak menjadi masalah kepada pengendali pusat-pusat SPA untuk membayar kompaun yang tidak seberapa itu dan kemudian meneruskan aktiviti-aktiviti mereka seperti biasa. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kerajaan mengkaji semula undang-undang yang sedia dalam hal perlesenan dan pengawalan aktiviti-aktiviti pusat-pusat SPA.
Pada hemat saya, kerajaan harus memastikan supaya industri ini terus berdaya saing tetapi pada masa yang sama perlu ada undang-undang yang bersesuaian dan seragam di seluruh negara. Ini adalah penting untuk mengawal pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam industri ini tidak menyalahgunakan pusat-pusat mereka untuk kegiatan haram dan tidak bermoral.
Pada masa ini, kita masih tidak mempunyai undang-undang yang seragam bagi pelesenan SPA di antara satu PBT dengan yang lain. Ini juga menjadi satu masalah yang perlu ditangani dengan baik. Keseragaman dalam undang-undang pelesenan juga dapat menyelesaikan banyak kelemahan-kelemahan yang dihadapi dan membantu meningkatkan imej industri ini di mata masyarakat. Ketidak seragamanan undang-undang pelesenan juga menimbulkan kesukaran kepada pihak pemohon lesen di PBT dan juga penguatkuasaan secara keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, Undang-undang Kecil yang baru untuk mewujudkan keseragaman pelesenan premis dan aktiviti SPA telah pun dilluluskan pada 12 Februari 2014. Tetapi, kerajaan masih belum menguatkuasakan Undang-undang kecil ini. Kenapakah kerajaan masih berlengah-lengah untuk melaksanakan keseragaman undang-undang ini di setiap PBT? Bilakah undang-undang kecil ini akan dilaksanakan sepenunnya oleh semu PBT di negara ini?