Skip to content

Setiausaha akhbar Perdana Menteri, Tengku Sharifuddin tidak sepatutnya menasihatkan Liew Chin Tong agar ‘lebih baik jaga masalah serius DAP’

Setiausaha akhbar Perdana Menteri, Tengku Sharifuddin tidak sepatutnya menasihatkan Liew Chin Tong agar ‘lebih baik jaga masalah serius DAP’ setelah beliau mengemukakan analisisnya berkaitan survival Najib. Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/387156

Datuk Seri Salleh Said Keruak juga tidak perlu panik dan menuduh Ahli Parlimen Kluang itu sedang berkhayal. Rujuk https://sskeruak.blogspot.my/2017/07/bila-ahli-parlimen-kluang-berkhayal.html?m=1

Hakikatnya, skandal mega seperti 1MDB dan FGV benar-benar telah meletakkan Najib pada kedudukan paling sukar samada di peringkat dalaman parti UMNO, BN apatah lagi halatuju berkerajaan Malaysia.

Najib sekarang ini adalah liabiliti kepada UMNO dan musibah paling besar kepada negara. Pemimpin-pemimpin UMNO yg sedar hakikat ini telahpun mengambil sikap menjarakkan diri dari Najib.

Johor contohnya, jika anda jelajah ke segenap negeri ini, anda boleh kira dengan tangan berapa kerat sahaja jumlah papan pemidang yang dinaikkan dengan memuatkan wajah Najib. Tidak lagi seperti sebelum-sebelum ini.

Bahkan dalam sidang DUN negeri mutakhir ini pun, ADUN-ADUN UMNO dan BN tidak lagi mengangkat nama Perdana Menteri untuk mengambil kredit atas pencapaian kerajaan pimpinan Najib di peringkat pusat.

Sharifuddin dan Salleh perlu sedar bahawa UMNO Bahagian Pasir Gudang yang diketuai oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin sendiri merupakan antara UMNO bahagian terawal menyediakan platform temu rapat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas skandal 1MDB mula heboh dan gerakan Deklarasi Rakyat dimulakan.

Hal ini menimbulkan kerisauan Najib. Kerana itulah pelan menyingkirkan Khaled Nordin dari terus mentadbir UMNO serta Kerajaan negeri di Johor bukanlah suatu yang tidak masuk akal atau ‘khayalan’.

Bahkan, apa yang berlaku ke atas bekas exco kanan Kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi yang mungkin ada kaitannya dengan agenda Najib sepertimana analisis Chin Tong, juga mempunyai asas.

Ura-ura Najib akan menaikkan nama baru seperti Datuk Razali Ibrahim atau Datuk Aziz Kaprawi sebagai calon Menteri Besar Johor proksi beliau bagi menggantikan Khaled bukan suatu rahsia.

Jadi, jika Sharifuddin mahupun Salleh mahu mendabik dada kononnya Najib masih kukuh termasuklah dalam UMNO, saya cabar agar beliau minta nama-nama pemimpin UMNO yang disebutkan oleh Chin Tong khususnya Menteri Besar Johor sendiri agar membuat kenyataan terbuka menyokong Najib dalam pelbagai isu yang beliau sedang hadapi sekarang ini.

Saya jamin, Najib tidak akan mendapat sokongan.