Skip to content

Setuju dengan cadangan supaya setiap atlet yang melakukan kesalahan membayar denda mereka sendiri

Laporan The Star bertajuk “Athletes burn carpets, flood dorms at two major Games last year” (http://www.thestar.com.my/Sport/Other-Sport/2015/05/16/OCM-forced-to-pay-for-damage-cause-by-athletes/) amat memeranjatkan.

Dalam dua acara sukan antarabangsa tahun lalu, kontinjen negara didenda hampir RM150,000 kerana antara lain, kesalahan merokok sehingga mengakibatkan kerosakan kepada harta awam.

Masalah disiplin atlet negara nampaknya bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi mereka, bahkan turut membawa kerugian kepada negara dari segi wang ringgit apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terpaksa membayar ganti rugi dan denda bagi pihak atlet-atlet yang tidak bertanggungjawab ini.

Saya amat bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi supaya setiap atlet yang melakukan kesalahan membayar denda mereka sendiri.

Saya juga berpendapat mereka wajar didenda, atau digantung malah dipecat supaya disiplin dapat dipupuk di kalangan atlet negara memandangkan mereka menjadi ikutan dan contoh bagi generasi akan datang.

Saya hairan bagaimana Kementerian Belia dan Sukan boleh berdiam diri dengan kesemua masalah disiplin sebegini. Atau adakah sebenarnya pihak Kementerian langsung tidak maklum tentang hal tersebut?

Isu sebegini wajar ditangani sepertimana kes doping Datuk Lee Chong Wei; dan nama-nama atlet atau pegawai yang terlibat mesti didedahkan demi ketelusan dan keadilan.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan dan MOM seharusnya memberi pertimbangan serius dalam mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap atlet, jurulatih dan pegawai-pegawai yang terlibat mewakili negara di Sukan SEA bulan hadapan di Singapura (http://www.thestar.com.my/Sport/Other-Sport/2015/05/16/Smokers-be-warned-in-Singapore/). Ini terutamanya kerana Singapura terkenal dengan peraturan-peraturan yang ketat.