Saya membaca dengan rasa gelisah dan geli hati laporan yang menyatakan Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa bahawa majoriti akar umbi Umno mahu Akta Hasutan dikekalkan, walaupun Presiden Umno yang juga Perdana Menteri baru sahaja mengulangi hasratnya untuk memansuhkan akta tersebut.
Lebih lucu lagi, Shahidan turut dilaporkan mendakwa bahawa akar umbinya itu juga mahu supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan, setelah Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan akta tersebut dua tahun lalu.
Pertama, saya harus memuji Shahidan kerana beliau nampaknya mempunyai hubungan baik dengan akar umbi Umno, berbanding Perdana Menteri; dan tahu isi hati dan kehendak mereka. Kedua, jelas di sini bahawa jika akar umbi Umno tidak memahami mesej dan hasrat transformasi Najib Razak yang bukan sahaja telah terbukti gagal disampaikan ke peringkat akar umbi, malah turut terbantut di peringkat pucuk pimpinan juga.
Ketiga, takkanlah rakyat negara ini sekadar perlu sanggup dengan kehendak akar umbi Umno sahaja. Takkanlah suara akar umbi Umno sahaja yang Shahidan pedulikan. Bagaimana pula dengan rakyat yang bukan ahli Umno? Apakah kehendak rakyat ini tidak penting di mata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu?
Oleh yang demikian saya mencadang Shahidan Kassim berani menggunakan peruntukan Parlimen bagi mendapatkan khidmat agensi bancian antarabangsa bagi melaksanakan bancian maklumbalas di seluruh negara bagi menentukan sama ada rakyat mahu mengembalikan ISA dan memansuhkan Akta Hasutan.
Saya juga mencabar parti-parti komponen BN yang lainnya juga berani melakukan bancian maklumbalas di peringkat bahagian masing-masing. Takkanlah MCA dan MIC hanya perlu ikut sahaja kehendak akar umbi Umno, bagaimana pula kehendak ahli akar umbi parti-parti komponen BN yang lain?
Perdana Menteri telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan dua tahun lalu. Dan baru sahaja semalam mengulangi hasrat tersebut, setelah Shahidan mendakwa bahawa janji tersebut tidak pernah dibuat.
Kita berharap supaya janji Perdana Menteri ini bukanlah sekadar di mulut sahaja. Sewajarnya pendakwaan pimpinan Pakatan Rakyat dan organisasi masyarakat dihentikan dan ditarik balik sekiranya benar Perdana Menteri ikhlas mahu memansuhkan undang-undang tinggalan penjajah ini.