Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Current Media Group (CMG) bagi menyelesaikan kontroversi penggunaan konsep reka bentuk Pavilion Malaysia untuk Ekspo Dunia 2025 Osaka tanpa pengiktirafan, isu kepentingan awam ini tidak boleh ditutup begitu sahaja.
Adalah tanggungjawab saya untuk bertanya, dan hak rakyat untuk mengetahui, siapakah pegawai MITI yang menyerahkan reka bentuk CMG kepada syarikat yang memperoleh kontrak tersebut. Jika benar berlaku, ini bukan kecuaian pentadbiran biasa tetapi kegagalan tadbir urus yang serius dan berunsur kesalahan harta intelek.
MITI mesti menjawab secara jelas dan terbuka sama ada tindakan tatatertib telah dikenakan terhadap pegawai terlibat, sama ada tindakan undang-undang telah dimulakan untuk menuntut semula wang rakyat yang telah dibayar kepada syarikat yang menggunakan harta intelek pihak lain tanpa kebenaran, dan sama ada syarikat tersebut dan pengarah-pengarahnya akan disenarai hitam daripada semua urusan perolehan kerajaan.
Rakyat sudah muak dengan budaya menutup kes, menyapu kesalahan ke bawah permaidani dan mengulangi amalan kronisme yang sama dari masa ke masa. Kerajaan MADANI bukan kerajaan lama. Jika benar mahu membawa pembaharuan, rakyat mesti dapat melihat dan merasai perubahan yang nyata melalui ketelusan, kebertanggungjawaban dan tindakan tegas tanpa kompromi.