Dalam masa seminggu lagi, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan kita yang ke-66, dan dalam masa 34 tahun lagi, kita akan menyambut ulang tahun ke-100 negara kita.
Ramai rakyat Malaysia yang berusia sekitar 40 tahun atau lebih muda akan hidup untuk menyaksikan ulang tahun ke-100 negara kita pada tahun 2057.
Lebih dari sembilan bulan sudah berlalu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 dan satu persoalan penting mengenai masa hadapan Malaysia perlu ditanya: Siapakah pemimpin kebangsaan yang merupakan seorang calon Perdana Menteri yang bercakap mengenai matlamat untuk Malaysia bangkit semula menjadi negara hebat dunia?
Para pemimpin kebangsaan yang juga merupakan calon-calon Perdana Menteri hanya fokus kepada kepentingan peribadi mereka atau kepentingan parti atau gabungan politik mereka, tetapi bukannya kepentingan Malaysia.
Seorang pemimpin PAS misalnya, telah dilaporkan oleh media atas talian hari ini sebagai membuat jangkaan yang pilihan raya kecil Simpang Jeram sebagai “gerbang” untuk “gelombang Perikatan Nasional” untuk tersebar ke Johor, dan dia tidak kisah sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka.
Malah, pemimpin PAS ini juga menjangkakan yang Perikatan Nasional (PN) akan mengambil alih Johor dalam masa dua tahun setengah lagi, malah mungkin juga capai ke Singapura.
Saya dilahirkan di Johor, dilahirkan dan dibesarkan di Batu Pahat pada tahun empat puluhan dan lima puluhan. Saya telah menjadi Ahli Parlimen di lima negeri, iaitu Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor, tetapi saya tidak bersetuju dengan pemimpin PAS ini kerana saya tidak rasa Johor dan Singapura akan tumbang kepada PAS dalam bila-bila masa.
Namun apa yang mengganggu fikiran saya adalah perkara berikut: Apakah gunanya untuk PAS mengambil alih Johor dan Singapura sekiranya mereka menjadi negeri yang berpecah belah, gagal, dan korup memandangkan PAS dan PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk menjadikan Johor, Malaysia, dan Singapura negara hebat dunia.
Saya percaya yang rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao tidak mahu untuk melihat Malaysia menjadi seperti Sri Lanka, sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup, sebaliknya kita mahu Malaysia untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia!
Hanya seorang sahaja yang bercakap mengenai usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dunia – Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan visi Ekonomi Madaninya yang merangkumi antaranya sasaran seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
Saya masih menunggu Hadi dan Presiden PN dan Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, untuk membentangkan visi mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dunia.
Dalam lima tahun pertama Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) diterbitkan dari tahun 1995 hingga 1999, Malaysia adalah negara teratas dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari segi integriti awam.
Pada tahun 2000 dan 2001, kita ditinggalkan di belakang Tunisia. Dalam TI CPI 2022 pula, kita di belakang empat negara OIC, UAE, Qatar, Arab Saudi, dan Jordan.
Penjelasan Hadi adalah dengan menyalahkan orang bukan Islam untuk gejala rasuah di Malaysia, sambil mengetepikan fakta di mana sekiranya trajektori Malaysia dalam TI CPI tidak diperbetulkan, kita bakal ditinggalkan di belakang China menjelang hujung dekad ini.
Namun, perkara yang paling mengejutkan adalah “pencapaian hebat” Muhyiddin dalam melawan rasuah – negara kita mengambil masa 22 tahun untuk jatuh dari tempat ke 23/41 pada tahun 1995 ke tempat ke 62/180 pada tahun 2017, namun Muhyiddin hanya mengambil masa selama 10 bulan untuk jatuhkan kedudukan Malaysia dari tempat ke-51 pada tahun 2019 ke tempat ke-62 pada tahun 2020.
Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri dengan rekod terburuk dalam memerangi rasuah di Malaysia.
Kedua-dua Muhyiddin dan Hadi tidak mempunyai apa-apa visi, rancangan, atau niat untuk membolehkan Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.
Kerana inilah Anwar patut diberikan sokongan penuh oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, politik, atau kawasan, untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.