Wanita Pakatan Harapan Malaysia memandang serius terhadap beberapa isu gangguan seksual dan pencabulan yang telah berlaku ke atas wanita dan kanak-kanak sepertimana yang telah tular sejak akhir-akhir ini, yang melibatkan agensi penguatkuasa undang-undang iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Kami menyambut baik pengumuman Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya kelmarin bahawa 11 pegawai polis yang didapati cuai dalam menjalankan tugas mereka dalam insiden hitam yang mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan dirogol di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari 2021 akan diturunkan pangkat atau dibuang kerja.
Walau bagaimanapun, kami berpandangan sekiranya wujud elemen jenayah dan kecuaian menurut peruntukan undang-undang sedia ada, anggota-anggota tersebut sewajarnya dihadapkan ke mahkamah dan bukan sekadar melalui proses tindakan tatatertib. Semua yang terlibat itu wajar disiasat segera di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya di bawah Seksyen 31 yang memperuntukkan bahawa mana-mana orang, menjadi orang yang menjaga anak – menyalahgunakan, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan anak atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan dia cedera fizikal atau emosi, atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera, diabaikan, ditinggalkan atau didedahkan atau melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera sedemikian melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak lebih dari 20 tahun atau kedua-duanya.
Kami juga kesal akan pelbagai reaksi dan komen negatif daripada masyarakat terutamanya warganet yang memperlecehkan wanita dan meremehkan aduan mangsa-mangsa yang terbabit; komen-komen kebanyakannya bersifat menuding jari kepada mangsa, mempersoalkan kesahihan dakwaan dan menghakimi tindak-tanduk serta penampilan mangsa.
Kami menegaskan bahawa stigma negatif terhadap mangsa, sikap menyalahkan dan menghakimi mangsa ini merupakan punca utama kebanyakan mangsa enggan tampil membuat laporan akan salahlaku seksual kerana khuatir dikutuk masyarakat dan dipersalahkan atas dakwaan mereka, sehingga pelaku gangguan seksual terlepas daripada dipertanggungjawabkan akan tindakan jenayah mereka.
Kami ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas tindakan berani beberapa mangsa yang telah tampil membuat laporan, walaupun demikian banyaknya cabaran, halangan dan tekanan yang mungkin mereka terpaksa tempuhi. Keberanian ini perlu dijadikan contoh oleh semua mangsa yang pernah melalui trauma yang sama untuk tampil melaporkan jenayah.
Hakikatnya gangguan seksual berlaku lebih kerap daripada yang disangka, dan ia merupakan bentuk keganasan yang lazimnya menimpa wanita dan kanak-kanak tanpa disedari, sekaligus jarang-jarang dilaporkan.
Sikap masyarakat mempersoalkan sama ada dakwaan-dakwaan dikemukakan adalah dakwaan palsu juga tidak berasas kerana realitinya tidak sampai 1% aduan gangguan seksual adalah palsu dan lebih malang lagi, majoriti wanita dan keluarga mangsa enggan mengemukakan aduan antaranya disebabkan bimbang dikecam oleh masyarakat sekeliling.
Gejala menghukum mangsa oleh masyarakat hanya akan merumitkan lagi usaha menangani gangguan seksual yang sudah sedia sukar ketika ini – kerana gangguan biasanya berlaku secara peribadi, kekurangan saksi bagi membuktikan kesalahan pelaku dan ketiadaan undang-undang khusus menangani gangguan seksual – lantas hanya dengan sokongan institusi, keluarga dan komuniti sekeliling boleh membantu mangsa keluar daripada situasi gangguan seksual ini.
Sehubungan itu, kami ingin menzahirkan solidariti kepada semua wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual dan pencabulan, dan menyeru mereka agar tidak gentar untuk tampil mendapatkan keadilan serta tidak berdiam diri.
Kami menyeru para wanita untuk segera mengambil langkah-langkah berikut jika berada dalam situasi gangguan seksual di tempat awam:
- Merekodkan butiran kejadian dan pelaku serta merakam secara audio dan visual perbuatan itu sekiranya keadaan mengizinkan.
- Segera membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan. Sebaiknya anda tidak berseorangan, ajak ahli keluarga, rakan atau peguam mengiringi anda membuat laporan polis.
- Menghubungi talian-talian sokongan untuk bantuan lanjut seperti :-
- Women’s Centre for Change (WCC) – Penang
(04-228 0342 / 011-3108 4001 – Whatsapp); - SNEHAM Malaysia
(+60 1-800-22-5757 – Hotline); - All Women Association Malaysia (AWAM)
(016 237 4331 – Telenita Helpline); - Women Aid Organization (WAO)
(+603 7956 3488 – Helpline / +6018 988 8058 – Whatsapp); - Sister In Islam (SIS)
(012-812 3424 – Telenisa Hotline); dan - Talian Kasih
(15999). - Berkongsi dengan orang yang boleh dipercayai dan dapatkan sokongan.
- Jika menghadapi trauma atau tekanan, dapatkan nasihat pakar atau kaunselor berdaftar.
- Usah berdiam diri kerana anda tidak boleh menghentikan gangguan seksual dengan berdiam diri, sebaliknya aduan anda mampu menyelamatkan lebih ramai orang lain daripada menjadi mangsa.
Kami juga menggesa pihak PDRM menyemak kembali dan memperkemaskan kesemua prosedur operasi standard dalam pada menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa serta mengelakkan berulangnya pelbagai kejadian cuai, tidak profesional dan tidak bertanggungjawab ini.
Kami menggesa agar fungsi Parlimen segera dikembalikan dan bersidang bagi memastikan beberapa Rang Undang-Undang terkait dapat segera dibentang dan diluluskan. Ini termasuklah Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 (menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) 2019), yang telah beberapa kali ditangguhkan kesan daripada tercetusnya politik khianat.