Skip to content

Siasatan Polis Terhadap EXCO Perak YB Woo Tidak Masuk Akal Lee Chin Chen: DAP Komited Pertahan Kebebasan Bersuara

1. Saya menyeru pihak polis untuk berhenti menyiasat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak dan Ketua DAPSY Kebangsaan, YB Woo Kah Leong, berhubung satu karikatur satira politik yang bertujuan menyangkal kenyataan berbaur fitnah yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang Negeri Perak, Razman Zakaria.

2. Tindakan pihak polis untuk membuka siasatan terhadap YB Woo bukan sahaja tidak masuk akal dan keterlaluan, malah berisiko mewujudkan budaya “white terror”. Ia adalah satu langkah mundur yang mengancam asas kebebasan bersuara dalam negara ini.

3. Karikatur tersebut adalah satu bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan terhadap kenyataan-kenyataan ekstrem dan penuh fitnah oleh Ketua Pembangkang PAS Perak, Razman Zakaria. Razman Zakaria telah sering kali memfitnah, antaranya termasuk melontarkan serangan jahat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming serta Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

4. Sekiranya ahli politik seperti Razman bebas menyebarkan fitnah dan kebencian tanpa sebarang pertanggungjawaban (accountability), tetapi mereka yang menyampaikan kritikan pula disiasat dan ditekan, maka sistem demokrasi dan kebebasan bersuara akan terancam.

5. Lukisan karikatur yang diterbitkan oleh YB Woo Kah Leong adalah satu bentuk ekspresi politik yang sah di sisi demokrasi dan undang-undang, malah merupakan sebahagian daripada budaya politik matang yang juga diterima oleh negara-negara demokrasi di seantero dunia.

6. Satira terhadap ahli politik bukan satu jenayah, tetapi cara rakyat menyampaikan pandangan, ketidakpuasan hati, dan kritikan terhadap pemimpin yang menyalahguna pengaruh dan menyebarkan kebencian.

7. Jika Razman tidak bersetuju dengan kandungan satira tersebut, beliau seharusnya tampil dengan hujah dan fakta, bukannya berselindung di belakang polis untuk menyekat kritikan.

8. Saya menyeru agar pihak polis kembali kepada prinsip keadilan dan profesionalisme. Jangan biarkan institusi yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat digunakan oleh menjadi alat kepada pihak tertentu untuk membungkam suara rakyat. Hal ini demikian kerana politik demokrasi mengiktiraf hak untuk dipersoal, dikritik dan disindir.

9. Sebagai Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap ADUN Bilut, saya menegaskan bahawa DAP berdiri teguh bersama YB Woo Kah Leong dalam mempertahankan hak beliau untuk bersuara.

10. Kami tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau penyiasatan politik. Yang sepatutnya memohon maaf adalah mereka yang menyebarkan kebencian, memfitnah musuh politik, dan memecahbelahkan rakyat dengan sentimen perkauman dan ekstrem.

11. DAP akan terus menjadi benteng menentang kenyataan extrem dan mempertahankan ruang demokrasi di negara ini demi masa depan yang lebih adil dan bebas.