Skip to content

Siasatan SPRM terhadap perolehan perkhidmatan perubatan penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan kerajaan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memandang serius kenyataan Yang Berbahagia Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Mei 2022 bahawa agensi penguat kuasa berkenaan sedang menjalankan siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan Kerajaan.

Sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang mempunyai mandat untuk memeriksa perbelanjaan Kerajaan supaya ia mematuhi undang-undang, peraturan kewangan Kerajaan yang berkuat kuasa, syarat kontrak dan pembayaran dilaksanakan dengan teratur, PAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi.

Sehubungan itu, saya sudah memaklumkan secara rasmi kepada Ketua Audit Negara pada hari semalam, supaya Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan khas terhadap perolehan dan perbelanjaan Kerajaan untuk perkhidmatan perubatan ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19, dan isu penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan Kerajaan.

Pengauditan khas ini harus disegerakan dengan dapatan dan hasil dibentangkan kepada PAC supaya Jawatankuasa ini dapat mengenal pasti wujud unsur penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan kuasa dalam perolehan perkhidmatan perubatan ini.

Dengan pengauditan khas yang dinyatakan di atas, PAC akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan Peraturan Mesyuarat 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982) untuk memanggil Kementerian Kewangan (MOF), SPRM serta Kementerian / Agensi yang terbabit memberikan taklimat dan penjelasan kepada jawatankuasa ini berhubung perkara ini.