Bagi pihak DAPSY, saya ingin melafazkan rasa dukacita atas penerimaan berita tentang kematian seorang pemandu perkhidmatan Grabcar, saudara Dedi Abdullah ketika menjalankan tugasnya. Pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga sdr Dedi Abdullah.
Menurut kenyataan yang dipaparkan oleh Grabcar pada laman rasmi Facebooknya pada 27 Januari 2017, sdr Dedi Abdullah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung ketika menjalankan tugasnya pada pagi itu. [1]
Kenyataan Grabcar menyatakan bahawa pihak Grabcar tidak akan mengumumkan sebarang info lanjutan berkaitan kemalangan tersebut dan akan terus fokus untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa.
Tindakan yang diambil oleh Grabcar adalah tidak wajar dan telus. Sesungguhnya perkhidmatan berasaskan aplikasi ini melibatkan kepentingan dan keselamatan bersama bagi pihak penumpang dan pemandu memandangkan bahawa kaedah operasi serta perkhidmatan tersebut masih dalam pertimbangan kerajaan.
Satu siasatan yang menyeluruh dan telus terhadap kemalangan sdr Dedi Abdullah harus dijalankan oleh pihak Grabcar dan juga pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam masa terdekat untuk memastikan bahawa kepentingan dan keselamatan bagi penumpang dan pemandu terjamin.
Oleh sebab kejadian yang tidak dijangka serta menyayat hati itu berlaku pada waktu pagi iaitu ketika mangsa sedang membawa penumpang, maka siasatan terhadap rekod dan jadual tugas mangsa harus dijalankan untuk meneliti punca kematian sebenarnya mangsa tersebut. Adakah kematian tersebut disebabkan kelelahan akibat bekerja tidak berhenti-henti? Apakah langkah penyelesaian Grabcar untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan sedemikian pada masa yang akan datang?
Dalam pada itu, apakah jenis bantuan yang dihulurkan oleh pihak Grabcar kepada keluarga mangsa? Hal ini tidak harus dirahsiakan kerana ini jelas melibatkan perihal kepentingan dan kebajikan bersama pemandu dalam industri ini.
Menurut berita pada Ogos 2016, kerajaan bakal membuka jalan kepada pengesahan perkhidmatan Uber dan Grab di sisi undang-undang. SPAD akan bertanggungjawab untuk memperkenalkan satu peraturan yang baru untuk kawalan yang lebih terperinci demi meningkatkan taraf dan kualiti perkhidmatan serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri berkenaan.
Kemalangan sdr Dedi Abdullah tidak harus dipandang remeh dan patut disiasat oleh SPAD secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penyelesaiannya. Di samping memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada penumpang, aspek kepentingan, keselamatan serta kebajikan pemandu turut harus dijamin oleh pihak yang berkenaan.
Kemalangan sdr Dedi Abdullah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan turut boleh berlaku terhadap sesiapa juga yang terlibat dalam industri berkenaan. Adalah penting bahawa kita, khususnya pihak yang bertanggungjawab, mempelajari pengajaran daripada tragedi ini dan tidak mengulanginya lagi.