Skip to content

Sidang Parlimen Mei/Jun akan menjadi sidang parlimen terpenting Kerajaan Perpaduan Anwar

Sidang Parlimen selama tiga minggu dalam bulan Mei dan Jun yang akan datang ini akan menjadi sidang terpenting untuk kerajaan perpaduan Anwar.

Adakah harapan rakyat Malaysia untuk kebangkitan semula negara dapat disemarakkan oleh kerajaan perpaduan Anwar selepas sidang Parlimen Mei/Jun ini atau adakah mereka akan merasakan yang tidak ada apa-apa yang hebat dapat dijangka dari kerajaan perpaduan ini?

Adakah Malaysia mampu untuk mencapai taraf negara hebat dunia dan menjadi contoh persefahaman antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia atau adakah Malaysia telah ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam beberapa dekad yang akan datang?

Bolehkah kita hentikan kemerosotan negara yang telah menyaksikan kegagalan Wawasan 2020 dan sembilan objektif strategiknya untuk membina Bangsa Malaysia dari tahun 1991 hingga 2020, yang telah menyebabkan Malaysia membangun pada kadar yang lebih perlahan dalam tempoh 30 ini berbanding dengan China, India, dan Indonesia, sehingga kita kini ditinggalkan di belakang China dari ukuran KDNK per kapita dan bakal ditinggalkan di belakang India dan Indonesia dalam beberapa dekad yang akan datang?

Pada tahun 1991, semasa melancarkan Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengatakan: “Diharapkan rakyat Malaysia yang ada pada hari ini akan menjadi generasi terakhir rakyat Malaysia yang hidup dalam negara yang dikategorikan sebagai ‘membangun’. Matlamat utama yang patut kita sasarkan adalah untuk Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020.”

Pada tahun 1990, terdapat 19 negara yang dianggap sebagai “negara maju”.

Kini, jumlah negara maju ini telah bertambah dua kali ganda namun Malaysia masih belum tergolong di dalam kategori ini.

Bolehkah kita tetapkan semula dan kembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dipersetujui oleh tiga Perdana Menteri Malaysia yang terawal yang semuanya juga merupakan Presiden UMNO, untuk membuktikan yang Malaysia kurang korup berbanding dengan China, India, dan Indonesia?

Bolehkah Malaysia menjadi sebuah negara yang terdiri dari pencapai standard dunia atau adakah kita ditakdirkan menjadi sebuah negara yang dipenuhi rakyat yang tidak mencapai apa-apa?

Inilah persoalan-persoalan mengenai masa hadapan Malaysia.

Apa yang dipertaruhkan adalah bukan sahaja reputasi individu, tetapi masa hadapan negara Malaysia – sama ada kita akan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau menjadi sebuah negara biasa-biasa sahaja, atau lebih buruk lagi, menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik di masa hadapan.

Atas sebab ini, Kabinet perlu memberikan perhatian penting terhadap sidang Parlimen Mei/Jun untuk memastikan sidang ini dapat menyuntik dan meningkatkan semangat untuk Impian Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia terutamanya dalam bidang seperti mengembalikan kebebasan badan kehakiman, tadbir urus yang baik, dan usaha membanteras rasuah dan memulakan proses untuk negara kita mempunyai sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia.

Sidang Parlimen selama tiga minggu dalam bulan Mei/Jun ini patut menjadi satu titik terpenting untuk kerajaan perpaduan Anwar.