Sidang Parlimen pada bulan Mei-Jun perlu memimpin negara dengan satu usul untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengembalikan semula negara kita kepada prinsip asal pembinaan sebuah Malaysia majmuk supaya kita dapat jadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun dan bukannya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.
Saya sokong penuh idea Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Kuantan semalam yang mengatakan rakyat Malaysia telah ditawarkan peluang untuk menyelamatkan Malaysia dan peluang ini tidak boleh dibazirkan, jika tidak, kita akan menjadi sebuah negara gagal.
Semasa saya berada di zaman persekolahan pada tahun 50-an, kami dididik untuk menjadi rakyat Malaya, kemudiannya rakyat Malaysia, bukan hanya sebagai Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak.
Kami akan terus menjadi Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak, yang semuanya merupakan identiti etnik masing-masing. Kami juga terus menjadi orang Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, yang merupakan identiti agama masing-masing. Tetapi kami semua ada identiti yang dikongsi bersama sebagai rakyat Malaysia.
Tetapi, malangnya sekolah-sekolah kita kelihatan seperti gagal dalam mencapai matlamat ini dalam enam dekad yang lepas dan kita tidak melahirkan individu-individu yang melihat diri mereka sebagai pertamanya rakyat Malaysia walau pada masa yang sama, mengekalkan identiti etnik, agama, dan budaya mereka.
Malaysia hanya boleh menjadi hebat jika kita dapat bersatu sebagai rakyat Malaysia, menggabungkan kekuatan identiti etnik, agama, bahasa, dan budaya kita yang pelbagai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia untuk kebaikan rakyat dan dunia.
Ada satu masa pada ketika dahulu, di mana menjadi satu perkara yang memalukan untuk menjadi rakyat Malaysia di dunia. Kita perlu pastikan perkara ini kekal dalam masa lampau dan tidak berulang sama sekali lagi.
Kita mahu semua rakyat Malaysia, dengan pelbagai identiti etnik, agama, bahasa, dan budaya, mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia, bukannya pertamanya menjadi orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak atau Islam, Buddha, Hindu, Kristian.
Inilah yang diajarkan oleh Perlembagaan dan Rukun Negara kepada kita. Kita mesti kembali kepada prinsip pembinaan negara ini.
Bolehkah kita tetapkan semula dan kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa untuk sebuah Malaysia yang majmuk, yang disokong oleh tiga Perdana Menteri terawal negara, yang juga semuanya merupakan Presiden UMNO – Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn?