Semua rakyat Malaysia perlu mencari sebab mengapa Wawasan 2020 gagal, dengan Malaysia menjadi lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan sekarang berbanding dengan pada semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada 1991.
Dengan rupa dan keputusan usaha pembinaan negara bangsa sebegini dalam 30 tahun dari 1991 hingga 2020, Malaysia akan menghala ke arah menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam tiga dekad yang akan datang.
Sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik apabila kita meraikan ulang tahun ke-100 negara kita pada tahun 2057, seluruh negara perlu bermuhasabah diri dan mengkaji mengapa Wawasan 2020 telah gagal sebelum ini.
Parlimen akan mengakhiri sidang 31 harinya pada 4 April. Saya cadangkan supaya sidang Parlimen dilanjutkan dua hari lagi untuk membahaskan mengapa Wawasan 2020 telah menjadi satu kegagalan penuh, dengan Malaysia menjadi lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan, dan juga untuk mencari sebab kegagalan sembilan cabaran strategik untuk menjayakan Wawasan 2020.
Parlimen perlu meluluskan usul untuk menyokong sembilan cabaran strategik ini sebagai asas usaha pembinaan negara bangsa dalam 10 tahun yang akan datang.
Terdapat sesuatu perkara yang amat tidak kena sekiranya ada Ahli-ahli Parlimen yang membantah sembilan cabaran strategik ini sebagai asas pembinaan negara bangsa dalam 10 tahun yang akan datang, kerana cabaran-cabaran ini konsisten dan memenuhi prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Wawasan 2020 mengiltizamkan Malaysia “mengejar kecemerlangan, dengan menyedari potensinya, tidak tunduk kepada sesiapa, dan dihormati oleh negara-negara lain” tetapi kita telah gagal dalam memenuhi cita-cita ini.
Perbahasan di Parlimen mengenai Wawasan 2020 dan sembilan cabarannya ini juga patut disusuli dengan perbahasan di seluruh negara, kerana kejayaan usaha ini akan menentukan sama ada Malaysia dapat diselamatkan dengan menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara seperti yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah empat orang Presiden UMNO yang terawal) dan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.