Sidang Parlimen selama 31 hari bakal berakhir dalam masa tiga minggu lagi, namun masih tidak ada apa-apa tanda yang Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS bersedia untuk menunjukkan sifat moderat, inklusif, toleransi, dan integriti supaya Malaysia dapat pulih menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Kerajaan perpaduan Anwar telah lulus ujian 100 hari pertamanya namun Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS telah gagal dengan teruk dalam ujian ini.
Rakyat Malaysia masih berharap akan ada reformasi institusi dan penetapan semula dasar-dasar pembinaan negara untuk menyatukan masyarakat majmuk tanpa mengira kaum atau agama dan untuk memulihkan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. Prestasi Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS telah menguatkan kepercayaan rakyat bahawa kita telah diberikan rahmat yang terselindung apabila Perikatan Nasional gagal untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada 19 November 2022 yang lepas.
Malaysia telah menerima ruang bernafas dengan pembentukan kerajaan perpaduan Anwar dan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-16 semasa istiadat pembukaan Parlimen ke-15 pada 13 Februari 2023 bergema di seluruh negara apabila baginda menyatakan hasrat baginda supaya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantiknya sebelum berakhirnya penggal pemerintahan baginda pada bulan Januari tahun hadapan.
Rakyat Malaysia ingat kita sudah berjaya menghentikan skandal berbillion ringgit 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di peringkat dunia sebagai sebuah kleptokrasi selepas Pilihan Raya Umum ke-14, namun kita kini dikejutkan pula dengan konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah membawa sebuah skandal yang lebih besar, skim Jana Wibawa yang dilancarkan pada bulan November 2020 untuk membantu kontraktor bumiputera semasa wabak Covid-19 melanda negara.
Skandal Jana Wibawa ini lebih mengejutkan apabila ia difahami dalam konteks darurat palsu yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 yang membawa kepada penggantungan sidang Parlimen, kononnya untuk membantu usaha melawan Covid-19 – sedangkan semasa Darurat ini diisytiharkan, kita mencatatkan 2,232 kes harian dengan empat kematian akibat Covid-19, tetapi pada hari terakhir darurat, 1 Ogos 2021, kita mencatatkan 17,150 kes dengan 160 kematian akibat Covid-19, peningkatan kes dan kematian sebanyak lapan dan empat puluh kali ganda.
Kelihatan seperti satu-satunya penerima manfaat dari wabak Covid-19 dan darurat palsu ini adalah para pemimpin Bersatu dan PAS.
Amat mengejutkan apabila Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS mengingkari nasihat Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik bagi membolehkan Malaysia pulih menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mereka juga telah mengingkari seruan dari Raja-Raja Pemerintah untuk berhenti mempolarisasi hubungan antara kaum dan agama dalam negara dengan menggunakan politik toksik penipuan, fitnah, dan berita palsu dan juga seruan untuk menyokong usaha anti-rasuah.
Salah satu cara terbaik untuk menghentikan politik toksik yang mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama dalam negara adalah dengan Presiden PAS, Hadi Awang, menarik semula tuduhan tidak masuk akalnya yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia memandangkan dia telah gagal untuk memberikan bukti terhadap tuduhan ini dalam empat bulan yang lepas.
Tetapi, Hadi telah melakukan perkara yang sebaliknya. Dia menjangkakan kejatuhan kerajaan perpaduan Anwar, bertentangan secara terang-terangan dengan nasihat Raja-Raja Pemerintah dalam negara.
Tiga minggu terakhir sidang Parlimen ini akan menjadi ujian kepada Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS, sama ada mereka bersedia untuk menunjukkan sifat moderat, inklusif, toleransi, dan integriti supaya Malaysia boleh pulih semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, di mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, bersatu padu semula dan tidak lagi syak wasangka antara satu sama lain.