Sidang pembukaan Parlimen ke-15 selama lapan minggu yang akan berakhir pada minggu hadapan akan menjadi lebih bermakna sekiranya laporan-laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dinyahrahsiakan dan dibentangkan sebagai Kertas Putih dalam dua hari terakhir sidang Dewan Rakyat minggu hadapan.
Perkara ini adalah salah satu dari lima cadangan yang saya telah buat pada bulan Januari tahun ini untuk menjadikan sidang pembukaan Parlimen ke-15 ini sebagai sidang yang paling diingati dengan memulakan inisiatif reformasi institusi untuk mencapai cita-cita berganda menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan untuk menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Sekiranya sudah terlalu lewat untuk menyahrahsia dan membentangkan laporan-laporan CEP dan IRC sebagai Kertas Putih dalam dua hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada hari Isnin dan Selasa hadapan, Kerajaan Perpaduan Anwar patut membentangkan kedua-dua laporan ini di Dewan Negara memandangkan Dewan Negara dijadualkan bersidang sehingga Khamis hadapan, 6 April.
Laporan-laporan CEP dan IRC ini patut dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang relevan yang telah dibentuk supaya laporan dapat dihantar kepada sidang Mei/Jun Dewan Rakyat.
Saya dikejutkan beberapa hari lepas dengan pendedahan oleh seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Jomo Kwame Sundaram, yang mengatakan bahawa CEP tidak pernah menerbitkan sebuah laporan sebaliknya hanya sekretariat CEP di bawah bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, yang mengeluarkan laporan CEP.
Perkara ini menjadikan tindakan untuk nyahrahsia laporan CEP dan IRC lebih diperlukan dan mendesak, memandangkan laporan ini tidak dirancang untuk dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dihalang dari dibincangkan orang awam dari awal lagi.
Satu kes yang kuat boleh dibuat untuk mengatakan yang Mahathir Mohamad – sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan yang hanya bertahan selama 22 bulan sejak 2018 – telah mengkhianati hasrat rakyat dengan merahsiakan laporan CEP dan IRC di bawah OSA.
Saya telah berkali-kali membuat seruan supaya laporan CEP dan IRC diterbitkan, pertama kali seawal 13 Oktober 2018, ketika mana saya memetik pengerusi CEP, Daim Zainuddin, yang mengatakan kerajaan patut menerbitkan cadangan-cadangan CEP kepada rakyat.
Apakah sebab untuk Kerajaan Perpaduan Anwar terus meletakkan laporan CEP dan IRC di bawah OSA?
Saya tertanya-tanya sejak dahulu lagi, mengapa Mahathir enggan bertanya kepada Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menyahrahsia laporan CEP dan IRC, melainkan dia memang seorang musuh “dalam selimut” usaha reformasi institusi di Malaysia.
Mengapa perlu adanya kerahsiaan untuk perkara berkepentingan awam yang melibatkan ratusan cadangan yang berkaitan tadbir urus, integriti, dan pencegahan rasuah dalam laporan CEP dan IRC?
Walaupun para pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mencuba sedaya upaya mereka untuk mewujudkan ketidakstabilan politik dengan terus menerus mempolarisasi keadaan perkauman dan keagamaan di Malaysia, Kerajaan Perpaduan Anwar masih berjaya bertahan setakat ini.
Saya lebih yakin berbanding dengan sebelum pembukaan Parlimen ke-15 pada 13 Feb. 2023 yang Kerajaan Perpaduan Anwar ini akan bertahan selama lima tahun, walaupun perkara ini tidak patut dipandang ringan memandangkan konspirasi politik Langkah Sheraton kedua sentiasa menunggu di setiap sudut.
Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, perlu memenuhi janji yang dibuatnya ketika dilantik menjadi Perdana Menteri untuk tidak berkompromi dengan perkara berkaitan tadbir urus baik, usaha membanteras rasuah, kebebasan badan kehakiman, dan juga untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia, dan kerana inilah dia perlu menyahrahsia laporan CEP dan IRC.