Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali nampaknya tidak bersetuju dengan cadangan bernas timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu mengadakan suatu ‘gencatan senjata’ di antara parti-parti pembangkang. Malah beliau selanjutnya telah melancarkan serangan ke atas DAP.
Kenyataan Khairuddin yang membidas sistem dwi parti amat mengelirukan, kerana sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan perlembagaan persekutuan.
“Sistem dwi-parti ternyata merosakkan kerana setiap parti akan memejam mata (atas) kesilapan parti mereka, akan mempertahankan kerosakan dan kebatilan.
“Itu berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. Lihat banyak onar dalam DAP tapi kita pejam mata kerana menjaga Pakatan Rakyat, itu bahaya bagi negara,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.
Khairuddin sewajarnya sedar bahawa hanya pertembungan secara dwi-parti dalam pilihanraya akan membolehkan pemerintahan Umno berakhir. Ini telah dibuktikan secara matematik sepanjang dua pilihanraya umum yang lalu.
PAS akan ternyata menjadi lalang dalam perjuangan menewaskan kekuasaan Umno yang lebih setengah abad sekiranya ia memilih untuk mementingkan survival politiknya sahaja, ketimbang kepentingan rakyat dan negara.
Fitnah bahawa kononnya ‘banyak onar dalam DAP’ namun mereka (PAS) masih pejam mata semata-mata untuk menjaga Pakatan Rakyat, adalah sesuatu yang tidak wajar dituturkan setelah bertahun-tahun PAS dan DAP membina kerjasama dan persaudaraan di peringkat akar umbi.
Malah ia memalukan diri sendiri kerana PAS juga nampaknya memejamkan mata apabila berhadapan korupsi dan skandal Umno yang kini menjadi rakan bersanding meski tanpa perlu bernikah.
Sekiranya PAS begitu yakin dengan fitnah mereka terhadap DAP, dan ragu-ragu dengan kerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya sudah boleh meletakkan jawatan-jawatannya dalam kerajaan negeri Selangor yang berfungsi dalam kerangka kerjasama dengan DAP.
Penafian beliau tentang sebarang usaha PAS untuk mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan amat memilukan. Begitu mudah sekali mereka berputus asa dengan rakan-rakan, namun tidak sukar pula meletakkan harapan kepada musuh utama seluruh rakyat Malaysia.
Pakatan Harapan sentiasa terbuka menyambut kerjasama mereka yang bersedia menumbangkan pemerintahan Barisan Nasional. Namun kita tidak akan buang masa dengan mereka yang tidak percaya dan menghormati harapan dan aspirasi seluruh rakyat Malaysia, dan hanya mementingkan kepentingan pihak atau golongan tertentu sahaja.