Skip to content

SITI ZAILAH TERUS MEMFITNAH NGA KOR MING, CABAR KEMUKAKAN BUKTI

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah yang berulang kali mengeluarkan kenyataan ekstrem, tidak berasas dan berunsur fitnah, khususnya terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming.

Terbaharu, selepas mempersoalkan di Dewan Rakyat bahawa YB Nga Kor Ming menggunakan istilah “Sujud Syukur” serta “Alhamdulilah” dan mempermainkan kalimah-kalimah Islam, YB Siti Zailah telah meneruskan fitnah tersebut dalam satu wawancara dengan portal Malaysiakini di mana beliau mendakwa bahawa kononnya terdapat rakan-rakan berbangsa Cina beliau yang mengadu bahawa YB Nga Kor Ming pernah membuat kenyataan yang memperli Islam ketika berucap kepada masyarakat Cina.

Petikan dari portal Malaysiakini:-

“Sebagai orang Islam, sebab saya tahu aduan daripada kawan-kawan kita kaum Cina, apabila mereka berucap pada kaum Cina, kadang-kadang keluar perkataan memperli Islam.”

“Ini mereka ucap dalam bahasa Cina. Ini kawan-kawan Cina juga yang bagitau,” kata Siti Zailah kepada Malaysiakini.”

Saya menegaskan bahawa dakwaan ini langsung tidak disokong oleh sebarang bukti, bersifat rekaan dan berniat jahat, serta merupakan cubaan jelas untuk memanipulasi sentimen agama demi kepentingan politik, sekali gus mencetuskan perpecahan dan merosakkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Lebih jelas, ramai pemimpin beragama Islam sendiri telah tampil mempertahankan YB Nga Kor Ming, termasuk Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Haji Azli bin Yusof dan lain-lain yang menegaskan bahawa penggunaan istilah-istilah oleh Nga Kor Ming langsung tidak menghina Islam. Maka saya mencabar Siti Zailah supaya segera mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya. Kegagalan berbuat demikian bermakna kenyataan beliau jelas memenuhi unsur fitnah.

Saya juga ingin menegaskan bahawa ini bukanlah kes terpencil di mana wakil-wakil rakyat PAS didapati memfitnah pemimpin DAP. Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, YB Siti Mastura telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok, dan diarahkan membayar RM750,000 ganti rugi. Begitu juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Ketua Pembangkang DUN Perak, YB Razman Zakaria, yang diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng oleh mahkamah serta terpaksa memohon maaf kepada Nga Kor Ming selepas membuat tuduhan palsu mengatakan YB Nga Kor Ming terlibat dalam insiden kibaran bendera negara China di Teluk Intan.

Sebagai seorang Ahli Parlimen, YB Siti Zailah seharusnya membahaskan dasar, kebajikan rakyat dan pembangunan negara secara berfakta dan bertanggungjawab, bukannya menggunakan kenyataan yang bersifat fitnah dan tidak benar. Prestasi YB Nga Kor Ming sebagai seorang Menteri harus dinilai berdasarkan keberkesanan dasar beliau dan khidmatnya kepada rakyat, yang sentiasa selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip saling menghormati antara agama — bukan melalui fitnah yang berselindung di sebalik alasan mempertahankan agama.

Saya menggesa YB Siti Zailah menghentikan segera semua kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar, serta menyeru rakyat Malaysia untuk menolak politik kebencian Perikatan Nasional yang berulang kali menunggang agama demi keuntungan politik. Malaysia mesti dipimpin oleh pemimpin-pemimpin politik yang menyatukan, bukan memecah-belahkan.