Skandal 1MDB akan menghantui pasaran kewangan modal negara, malah menyumbang kepada kejatuhan nilai Ringgit jika menteri-menteri BN masih enggan mengakui bahawa memang ada usaha menyelamat (bailout) terhadap 1MDB selepas RM600 juta daripada RM950 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan BN digunakan oleh 1MDB sebagai kredit tersedia.
Sehubungan dengan itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sudah menjadi seperti burung unta yang menyembunyikan kepala dalam tanah apabila berdepan dengan masalah. Beliau berkeras menyatakan suntikan wang kerajaan bernilai RM950 juta itu sebagai kredit tersedia kepada 1MDB bukanlah usaha menyelamat kerana 1MDB bukan sebuah organisasi yang gagal tetapi hanya mengalami masalah aliran tunai jangka pendek sahaja.
Jelaslah Ahmad Husni lupa dengan asas perakaunan sekolah menengah yang mengajar bahawa kebankrapan biasanya disebabkan oleh insolvensi, iaitu tidak mempunyai cukup tunai untuk membayar hutang, walaupun akaun kewangan menunjukkan keuntungan. Sudah ada banyak syarikat yang rugi dan bankrap kerana mereka gagal menunaikan janji membuat bayaran tunai jangka pendek walaupun akaun mereka menunjukkan mereka mempunyai aset yang bernilai berbilion Ringgit.
Pada masa yang sama, apabila Ahmad Husni mengakui bahawa 1MDB gagal membayar hutang tunai jangka pendek, ia bererti beliau mengakui bahawa 1MDB boleh bankrap jika tiada kredit tersedia RM950 juta itu yang disediakan oleh kerajaan persekutuan BN. Tanpa kredit tersedia ini, 1MDB tidak akan mampu membayar hutang tunai jangka pendeknya, dan ia akan menjadi insolven dan dengan itu menjadi bankrap. Jelaslah 1MDB telah gagal, dan kredit tersedia RM950 juta itu sebenarnya memang menjadi penyelamat (bailout) kepada 1MDB.
Malah, kini Ahmad Husni juga melawan kata-katanya sendiri kerana beliau pernah menyatakan di Parlimen bahawa nisbah hutang ekuiti (gearing ratio) 1MDB – iaitu ukuran hutang berbanding modal di mana semakin tinggi nisbah hutang ekuiti, semakin teruk keadaan syarikat – adalah 17 kali ganda dan gagal dikekalkan pada tahapnya sekarang.
Atas sebab ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) tahun ini dijangka terus kekal dengan rekod buruknya pada tahun 2014 sebagai pasaran saham yang paling teruk di rantau Asia Pasifik. Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 6% tahun lalu, KLCI pada tahun 2014 telah jatuh 5.7%, iaitu kejatuhan paling buruk di kalangan bursa Asia Pasifik. Sedangkan negara seperti Thailand yang hanya mencatatkan pertumbuhan ekonomi tidak sampai 1% pun pada 2014 telah berjaya meningkatkan indeks pasaran sahamnya kepada 15.3% manakala indeks pasaran saham Filipina menjadi contoh terbaik di rantau ini dengan peningkatan 22.8% pada 2014.
Mengapa Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi hampir 6% pada 2014 menjadi negara yang paling teruk prestasinya berbanding negara-negara jiran yang lebih rendah kadar pertumbuhan ekonomi mereka? Jelaslah bahawa pelabur antarabangsa tidak berminat dengan prestasi masa lalu tetapi lebih serius tentang prospek masa depan KCLI dan Malaysia sendiri.
Prospek masa depan KCLI adalah negatif kerana terlalu banyak persoalan timbul tentang skandal 1MDB yang berjumlah RM42 bilion yang telah menambah rasa syak wasangka bukan sahaja terhadap ketelusan dan kemampuan pasaran modal negara, tetapi juga tentang sama ada penarafan kredit (credit rating) Malaysia akan terjejas jika terdedah segala-galanya tentang 1MDB. Atas sebab ini, amat penting bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan mendedahkan segala-galanya secara terbuka tentang skandal tersebut supaya semua orang tahu kos sebenar jika keadaan ekonomi paling buruk berlaku kepada negara.