Skip to content

Skandal 1MDB menjejaskan ekonomi, menakutkan pelabur asing

Malaysia tidak akan menjadi pilihan pelabur asing jika ekonomi negara tenat dan skandal rasuah menyelubungi imej tanahair. Skandal ibu 1MDB yang mengotori negara dengan istilah kleptokrasi tersebar luas di seluruh dunia.

Baru-baru ini, terdapat beberapa pelabur asing telah berhenti menjalankan operasi mereka atau berpindah ke negara lain. Di samping itu, minat pelabur asing yang baru juga semakin berkurangan. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Penutupan kilang-kilang asing akan menyebabkan pembuangan pekerja. Ini akan meningkatkan kadar pengangguran negara.

Kita amat bergantung kepada pelaburan asing untuk mengembangkan ekonomi negara. Sebagai contoh, 5 negara pelabur asing terbesar di Malaysia setakat tahun 2016 adalah seperti berikut; Jepun (RM88.5 bilion), Amerika Syarikat (RM71.9 bilion), Singapura (RM39.2 bilion), Jerman (RM31.2 bilion) dan Belanda (RM21.6 bilion).

Jika kita tidak membetulkan imej negara, kita akan hilang lebih banyak pelabur asing. Pelabur-pelabur baru juga akan berasa gerun melabur di negara kita.

Disamping insentif-insentif kepada pelabur asing, isu ketelusan pentadbiran negara juga merupakan faktor penting dalam usaha menarik pelabur asing yang berwibawa.

Skandal 1MDB dan penglibatan pemimpin utama seperti MO1 telah menjejaskan keinginan pelaburan asing melangkah masuk negara. Akibatnya, ekonomi negara terjejas. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita perlu serius dalam hal menyelesaikan skandal 1MDB untuk kebaikan rakyat dan masa hadapan negara.

Pihak berkuasa PDRM, SPRM dan Peguam Negara harus menunjukkan sikap neutral apabila melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi rakyat Malaysia. Hari ini, nama baik institusi-institusi tersebut termasuk Dewan Rakyat tercemar kerana melindungi pihak-pihak yang terlibat dalam skandal besar ini.