Skip to content

Skim pembiayaan rumah mampu milik Johor

Berkenaan dengan jawapan yang telah dibekalkan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahaan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor, Datuk Haji Abd. Latiff bin Bandi pada 29 November 2015 di Dewan Negeri Johor semasa mengulung perbahasan atas rundingan bacaan kali yang kedua bagi rang undang-undang Enakmen Perbekalan (2016) Tahun 2015.

Dalam jawapan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa Skim Pembiayaan Rumah mampu Milik adalah untuk mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bank, dan cuma dibuka untuk permohonan rumah di bawah kategori rumah berharga RM42,000.00 dan RM 80,000.00 sahaja.

Bayangkan, dengan RM3 juta tersebut, skim ini cuma dapat memanfaatkan 3750 pemohon dengan harga rumah RM42,000 dan 7142 pemohon rumah berharga RM80,000. Jumlah ini adalah sangat kecil berbanding dengan pemohon yang begitu ramai.

Kami juga sangat mengalu-alukan Skim Rumah Rakyat PPR yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada mereka yang tidak upaya untuk membayar ansuran bulanan. Kami juga harap Skim sewa beli ini dapat diluaskan kepada lebih banyak tempat-tempat di seluruh Johor yang memerlukan.

Rumah transit di bawah Yayasan PBT juga perlu ditambah supaya lebih ramai pemohon dapat memiliki rumah sendiri.

Sekarang ini ramai anak muda yang mengeluh mengenai sukar dapat pinjaman bank, jadi, skim apa pun yang kerajaan mahu buat tetapi pokok masalah hari ini adalah gaji yang diterima kecil.

Ditolak dengan pinjaman pelajaran, kereta, bil-bil utiliti bulanan dan perbelanjaan diri, berapa ramai yang akan mampu untuk lepas syarat ketat bank sekarang? Jikalau pun lulus pinjaman perumahan, adakah mereka ada kemampuan untuk bayar ansuran bulanan?

Soalanya, apakah inisatif untuk menangani masalah pendapatan rakyat yang rendah pada masa sekarang?

PAPAN IKLAN

Kami faham notis yang dikeluarkan oleh PBT untuk menurunkan papan iklan yang menutup fasad bangunan adalah dibawah undang-undang Kecil dan Pekeliling Kerajaan Tempatan.

Tetapi, keadaan sekarang adalah mereka yang terima notis menurunkan papan iklan itu sebenarnya mempunyai lesen papan iklan besar yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Tempatan di daerah masing-masing.

Lesen papan iklan besar itu dicaj dengan kadar yang lebih tinggi daripada lesen papan iklan biasa, bermaksud mereka telah dapatkan kebenaran daripada PBT sebelum papan iklan besar tersebut dipasang.

Oleh itu, keadaan tidak adil yang telah saya sebut dalam ucapan perbahasan saya pada 26 November 2015 adalah kerana PBT telah melulus dan mengenakan caj lesen papan iklan besar dengan kadar tinggi tapi tiba-tiba minta peniaga menurunkan papan iklan dalam tempoh 3 bulan.

Soalannya adalah sekiranya papan iklan yang diminta turun tersebut kalau tidak mengikut undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan, macam mana mereka boleh dapat lesen papan iklan dari PBT?