Skip to content

Skim penyaluran air mentah Sungai Perak (SPRWTS) rujuk Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA); Pulau Pinang bersedia dengan pelan kontingensi

Pada 1 Mac 2022, saya telah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan perbincangan berhubung Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) dengan Menteri Besar Perak di pejabat YAB Menteri Besar, Ipoh, Perak.

Hasil daripada perbincangan tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju untuk merujuk isu berkenaan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang kini sedang memuktamadkan satu kajian mengenai sumber air di Sungai Perak.

Walau bagaimanapun, dalam menunggu keputusan muktamad berhubung projek SPRWTS (yang telah tertangguh selama 11 tahun) dan bagi memastikan bekalan sumber air negeri ini sentiasa mencukupi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka sebuah pelan kontingensi, ‘Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050’ (PWSI 2050).

Umumnya, saya telah memaklumkan hasil perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak di Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK) semalam, 2 Mac 2022, dan memutuskan bahawa isu berkaitan akan dirujuk kepada KASA supaya kementerian terbabit boleh melaksanakan tanggungjawab mereka mengenai pembekalan air mentah kepada negeri-negeri yang mengalami kekurangan sumber air.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung antara dua pihak tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi permintaan kepada Kerajaan Negeri Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang. Namun, pihak Menteri Besar dan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Negeri Perak telah memberi maklum balas bahawa negeri Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah khasnya untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.

Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan bahawa permintaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat. Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak, dan pada masa sama hujahan tersebut membuktikan bahawa projek SPRWTS juga amat diperlukan bukan sahaja oleh Pulau Pinang tetapi juga Perak khususnya di bahagian utara negeri berkenaan.

Berlandaskan faktor tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba meyakinkan Kerajaan Negeri Perak bahawa projek SPRWTS adalah perlu dilaksanakan demi memenuhi kehendak serta permintaan kedua-dua negeri ini.