Setiap hari ada juga mangsa yang mengadu bahawa mereka tertipu dengan skim cepat kaya. Walaupun masalah ini bukanlah masalah baru tetapi kerajaan gagal membendung gejala yang sangat membinasakan ini.
Ribuan orang tertipu dengan muslihat pihak-pihak tertentu yang arif memperdayakan mereka dengan menunjukkan pulangan yang amat lumayan bagi wang yang dipertaruhkan. Perkataan-perkataan seperti ‘pelaburan’ sering digunakan oleh operator skim cepat kaya untuk menarik minat orang ramai dalam skim yang diperkenalkan.
Penularan skim-skim ini didapati semakin berkembang selari dengan perkembangan teknologi. Pada masa ini, skim-skim cepat kaya berupaya menjerat lebih ramai mangsa melalui jalinan rangkaian internet seperti Facebook, Watsapp dan sebagainya.
Orang ramai ditunjukkan pulangan yang amat tinggi bagi wang yang dipertaruhkannya. Setelah mendengar hujah-hujah yang cukup meyakinkan, orang-orang yang tamak melihat pulangan itu akan mempertaruhkan wang mereka. Ada diantara mereka sanggup mempertaruhkan ratusan ribu ringgit dengan harapan mendapat pulangan berlipat kali ganda.
Modus operandi operator skim-skim cepat kaya ini adalah lebih kurang sama. Mereka akan memberi pulangan yang tinggi untuk wang pertaruhan pelanggan-pelanggannya buat beberapa kali. Selepas pelanggan-pelanggan itu bertambah yakin, mereka akan menambahkan wang pertaruhan mereka. Pada masa yang sama, akan wujud lebih ramai pelanggan baru yang tidak mahu terlepas peluang daripada membuat keuntungan yang besar dengan kaedah yang mudah.
Apabila operator skim cepat kaya ini memperolehi jumlah wang yang cukup besar, beliau akan terus menghilangkan diri. Pelanggan-pelanggannya akan menjadi kelam-kabut kerana tidak dapat menghubungi operator skim cepat kaya itu. Mereka akan membuat laporan polis dan sebagainya. Tetapi, pada hakikatnya mereka telah tertipu kerana ketamakannya sendiri.
Walaupun kes-kes seperti ini sering kali dilaporkan dalam media tetapi masih juga kerap berlaku penipuan. Peliknya, ramai juga diantara pelanggan-pelanggan yang ditipu itu adalah dari kalangan berjawatan professional.
Ini menunjukkan sebahagian besar daripada rakyat negara kita tidak memahami asas-asas pelaburan. Mereka juga tidak berwaspada apabila berhadapan dengan skim-skim yang tidak diiktiraf. Tahap kesedaran mereka terhadap skim-skim seperti ini adalah masih rendah.
Pada hemat saya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membendung masalah skim-skim cepat kaya ini. Walaupun banyak juga kes-kes yang disiasat tetapi masih terdapat urusan skim-skim cepat kaya beroperasi secara berleluasa di negara kita.
Sejak tahun 2000 hingga 2014 sebanyak 66 buah syarikat termasuk individu telah disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewanagan1989, Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 149 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di atas kesalahan menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada orang ramai tanpa lesen yang sah.
Sebanyak 43 kes telah dihadapkan ke Mahkamah dan 23 kes lagi dalam siasatan. Dalam tempoh itu, hanya 28 kes telah disabitkan kesalahan. Walaupun ada tindakan-tindakan tertentu diambil oleh pihak Bank Negara Malaysia tetapi keberkesanannya masih disangsikan.
Pihak Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia harus mengolah strategi-strategi yang lebih cekap dan berkesan untuk memerangi gejala ‘cepat kaya’ ini supaya orang ramai tidak menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada masa hadapan.