Adakah kerajaan yang diberi markah 90% oleh Perdana Menteri tidak boleh dikritik oleh warga net sekarang?
Media telah melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Twitter untuk memadamkan beberapa ciapan yang mengkritik kerajaan BN. Permintaan seperti ini hanya akan menimbulkan persoalan sama ada kerajaan yang memerintah sekarang takut pada pandangan berbeza.
Semasa bencana berlaku, ramai pengguna Twitter menularkan maklumat penting untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. SKMM seharusnya memainkan peranan supaya semua maklumat penting ini disampaikan dengan lebih cekap dan telus. Walau bagaimanapun, SKMM memilih untuk menapis kritikan sahaja. Ini adalah satu perkembangan yang amat dikesali.
Sekiranya SKMM mahu memainkan peranan yang lebih bermakna, saya mencadangkan agar SKMM menyiasat berita palsu ataupun maklumat palsu yang dimuatnaik oleh beberapa orang pemimpin MCA semasa banjir berlaku. Mereka menggunakan ciapan sebuah akaun palsu serta menuduh parti DAP salah guna gambar sukarelawan MCA untuk mengutip dana sedangkan DAP tidak menggunakan nombor akaun yang dituduh oleh pemimpin-pemimpin MCA tersebut. Malah, DAP tidak perlu menggunakan gambar sukarelawan MCA.
Sandiwara politik MCA ini adalah punca rakyat membenci politik. Saya dimaklumkan pemimpin kebangsaan MCA turut kongsikan maklumat palsu ini dalam grup whatsapp serta menyebarkannya di media sosial.
Adakah SKMM bersedia untuk menyiasat pegawai ibu pejabat MCA yang muat naik berita palsu tersebut dan pemimpin mereka yang turut kongsikan maklumat palsu semasa bencana? Ataupun SKMM hanya bertanggungjawab untuk memadam kritikan?