Skip to content

Soalan lazim: Projek “Taman di Atas Laut” Gurney Wharf

Soalan-soalan Lazim (FAQ) telah disiarkan sebagai panduan untuk orang ramai yang ingin memberi maklum balas mengenai “Projek Gurney Wharf”. Projek “Taman di Atas Laut”, Gurney Wharf hanya akan dimulakan seawal-awalnya 18 bulan dari tarikh permulaan kerja-kerja penebusan tanah di hadapan Persiaran Gurney. Persiaran Gurney tidak akan terjejas.

Penambakan laut telah diluluskan oleh semua pihak berkuasa termasuk laporan Penilaian Kesan Lanjut Kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA), maklum balas dan dialog awam. Dari segi landskap dan reka bentuk Gurney Wharf, kerajaan negeri telah berusaha lebih daripada yang perlu dengan mengambil inisiatif yang unik untuk mendapatkan maklum balas dan menjalankan dialog awam.

Soalan Lazim: Projek “Taman di Atas Laut” Gurney Wharf

1. Mengapa dipanggil Gurney Wharf? Adakah terdapatnya dermaga di kawasan tersebut?

  • Nama ini mendapat ilham daripada kemeriahan kawasan pantai yang terkenal di dunia seperti yang terdapat di San Francisco, London dan Sydney.
  • Hasrat kami adalah supaya Gurney Wharf muncul sebagai destinasi ikonik dengan ciri-ciri Pulau Pinang yang tersendiri.

2. Siapakah yang memiliki tanah tebus guna di kawasan pantai Persiaran Gurney/Gurney Wharf?

  • Sebaik sahaja penebusan tanah disiapkan, kawasan tanah tersebut akan menjadi milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

3. Kesesakan lalu lintas merupakan masalah besar apabila kerja-kerja penambahbaikan dilakukan di sebahagian Persiaran Gurney. Adakah keadaannya akan bertambah teruk apabila kerja-kerja dimulakan?

  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang untuk menangani isu-isu lalu lintas demi keperluan masa depan rakyat Pulau Pinang. Semua kerja penambakan dan pengorekan akan dijalankan dari kawasan laut.
  • E&O juga mempunyai rekod pematuhan yang sepenuhnya dan syarikat tersebut akan terus mematuhi dan bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan seperti MBPP untuk menangani sebarang isu yang mungkin timbul.

4. Apakah butiran mengenai Lebuhraya Gurney?

  • Lebuhraya Gurney merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang akan dijalankan untuk menangani isu-isu lalu lintas kita.

5. Berapakah kos penambakan Persiaran Gurney? Siapakah yang akan membiayainya?

  • Kos pakej penambakan untuk Fasa 2A Seri Tanjung Pinang Fasa 2 dan 131 ekar di sepanjang persisiran pantai Persiaran Gurney dianggarkan berjumlah RM1.07bilion. Jumlah ini tidak termasuk kos sampingan lain untuk infrastruktur, perunding /pakar dan lain-lain.
  • Keseluruhan kos penambakan akan ditanggung sepenuhnya oleh E&O, manakala kos “Taman di Atas Laut” Gurney Wharf akan ditanggung oleh kerajaan negeri selepas penilaian terperinci kos sewajarnya dijalankan dan perbincangan antara kedua-dua pihak diadakan.

6. Berapakah kos pembangunan Gurney Wharf? Siapakah yang akan membiayainya?

  • Sidang akhbar hari ini adalah untuk membentang dan mendapatkan maklum balas mengenai cadangan konsep pelan induk Gurney Wharf. Sebarang maklum balas juga boleh dikemukakan melalui kotak maklum balas yang disediakan di kawasan pameran.
  • Selepas usaha mendapat maklum balas dilakukan, kami akan menentukan unsur-unsur praktikal dalam projek tersebut, termasuk bagaimana Gurney Wharf akan dibiayai.

7. Adakah E&O akan membangunkan Gurney Wharf? Seandainya ya, apakah yang E&O akan dapat sebagai balasan?

  • Sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, E&O telah menanggung kos pengupahan arkitek yang terbaik di dunia untuk menghasilkan pelan induk konsep Gurney Wharf dengan menghulurkan dana tersebut terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
  • Sementelahan itu, sidang akhbar hari ini adalah untuk membentang dan mendapatkan maklum balas mengenai cadangan konsep pelan induk Gurney Wharf. Sebarang maklum balas juga boleh dikemukakan melalui kotak maklum balas yang disediakan di kawasan pameran.
  • Selepas usaha memperoleh maklum balas dilaksanakan, kami akan menentukan unsur-unsur praktikal dalam projek tersebut, termasuk mengenalpasti pemajunya.

8. Bilakah kerja penambakan di Gurney Wharf akan disiapkan?

  • Kerja-kerja penambakan untuk mewujudkan tanah Gurney Wharf dijangka akan mengambil masa 18 bulan dan berdasarkan ini, akan diselesaikan pada suku terakhir tahun 2017.
  • Tempoh masa tersebut termasuk:
  • – 8-10 bulan yang diperlukan untuk penebusgunaan tanah; ditambah dengan

    – 6-8 bulan yang diperlukan untuk proses rawatan tanah dan mendakan tanah.

9. Berapa lamakah orang ramai perlu tunggu sebelum mereka boleh menikmati Gurney Wharf? Bilakah taman dan kawasan makanan dan minuman (F&B) pinggir laut Gurney Wharf akan disiapkan?

  • Gurney Wharf akan diserahkan secara berperingkat. Dalam fasa pertama, adalah dijangkakan bahawa kawasan taman, tanpa bahagian F&B pinggir laut, akan disiapkan pada separuh kedua tahun 2018.
  • Fasa kedua yang merangkumi bahagian F&B pinggir laut berkemungkinan akan disiapkan pada tahun 2020.
  • Sememangnya, jangka masa sebenar projek Gurney Wharf akan bergantung pada pelbagai faktor termasuklah penentuan aspek-aspek kewangan serta kelulusan perancangan dan pembinaan.

10. Apakah yang akan berlaku kepada Persiaran Gurney yang sedia ada?

  • Dari bulatan Persiaran Gurney ke Jalan Pangkor yang berukuran panjang lebih kurang 2km, Persiaran Gurney akan kekal terbuka dan boleh diakses oleh kenderaan dan pejalan kaki. Walau bagaimanapun, terdapat juga perancangan untuk mencantikkan kawasan Persiaran Gurney yang sedia ada serta untuk mewujudkan kebolehtembusan (permeability) ke taman dan pinggir laut awam Gurney Wharf baru yang dicadangkan.
  • E&O akan memasang pagar anti-panjat yang akan dipasangkan dengan selamat di seberang dinding laut untuk membenarkan akses awam yang berterusan. Pemasangan pagar akan dibina dengan bahan mesh untuk membenarkan angin bertiup masuk. Kotak penanam tumbuhan juga akan dipasang untuk membolehkan tanaman tumbuhan menjalar.

11. Apakah jarak persiaran pinggir laut awam?

  • Lebih kurang 1.5km.

12. Apakah jaraknya dari Persiaran Gurney yang sedia ada ke Gurney Wharf?

13. Apakah jaraknya dari lintasan bawah (dari Jalan Pemenang) ke persiaran pinggir laut awam yang baru?

Untuk Soalan 12 & 13:

Akses dari Persiaran Gurney yang sedia ada ke Gurney Wharf

Dari Ke Jarak
Laluan Bawah Jalan Pemenang Pintu Masuk ke Taman 100m
Persiaran Pinggir Laut Baru 230m
Laluan Bawah Lorong Burma Pintu Masuk ke Taman 100m
Persiaran Pinggir Laut Baru 140m

14. Apakah yang akan dilihat dalam dua tahun akan datang sebelum kerja tebusguna tanah disiapkan?

  • Dengan segeranya, kerja-kerja pemasangan tirai kelodak dan boya navigasi akan dipasangkan di kawasan pengairan Persiaran Gurney sebelum kapal korek digerakkan.
  • Dalam hal demikian, pihak E&O juga bersikap prihatin terhadap nelayan-nelayan di kawasan tersebut dan telah melancarkan sistem SMS amaran yang proaktif untuk nelayan-nelayan supaya mereka menjauhi kawasan tersebut di samping mendapat kerjasama mereka dari segi pemantauan kerja.
  • Orang awam juga akan melihat pagar mesh dipasangkan di sepanjang Persiaran Gurney sebagai langkah keselamatan.

15. Bilakah kerja pemasangan pagar mesh akan bermula?

  • Dijangka pada 29 Februari 2016.

16. Dari manakah pemasangan pagar mesh di Persiaran Gurney akan bermula dan berakhir?

  • Dari bulatan Persiaran Gurney menghala ke hujung selatan Persiaran Gurney di Jalan Pangkor.

17. Berapa lamakah yang diperlukan untuk pemasangan pagar?

  • Dijangka selama 12 minggu.

18. Apakah jumlah kos pemasangan pagar?

  • Kos pemasangan pagar mesh adalah 40% lebih daripada kepingan dinding logam yang lazim digunakan dalam perusahaan hartanah dan pembangunan. Kos pagar mesh dijangka berjumlah lebih kurang RM1.3 juta.

19. Berapa lamakah pagar tersebut akan berada di sana?

  • Untuk keselamatan orang awam, pagar tersebut dijangka akan berada di sana sehingga projek Gurney Wharf disiapkan.

20. Apabila pagar dipasangkan, adakah ini bermakna orang ramai akan kehilangan akses ke kawasan Persiaran Gurney, iaitu mereka terpaksa memberhentikan aktiviti rekreasi dan kehilangan pandangan laut yang indah?

  • Berdasarkan reka bentuk pagar ini, orang awam masih dapat berjalan di sepanjang Persiaran Gurney, menikmati pemandangan dan angin yang ditiup menerusi pagar mesh berkenaan.
  • E&O telah berusaha sedaya yang boleh agar pokok casuarina di Hotel Lone Pine dipelihara dan dikekalkan sama dengan keprihatinan yang diberikan ketika menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian utama dan pengembangan hotel pada tahun 2010.

21. Apakah yang akan terjadi sekiranya tsunami melanda Pulau Pinang, terutamanya tapak projek ini?

  • Langkah-langkah mitigasi untuk menangani kemungkinan impak tsunami telah diambilkira didalam reka bentuk tahap platform projek penambakan.
  • Untuk memberikan perspektif berkenaan ini, Persiaran Gurney yang sedia ada terletak pada tahap +3.2 meter CD (datum carta) manakala kawasan yang akan ditambak akan berada pada tahap platform +5, +5.5 dan +6. Tahap platform tanah yang ditebusguna juga melebihi ketinggian ombak Tsunami tahun 2004 yang melanda kawasan pantai pada tahap +4.2 (berdasarkan data yang dikumpulkan dari tapak projek di mana tsunami berlaku).