Semalam, saya telah cuba untuk mendapat kebenaran dari Datuk Speaker untuk saya mengambil bahagian dalam perbahasan Pelan Pemulihan Nasional yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh dalam Dewan Yang Mulia ini. Walaupun ucapan saya hanyalah untuk 5 minit, namun diatas sebab kekangan masa, saya tidak dibenarkan untuk membentangkan isu-isu yang ingin saya bawa untuk perhatian semua Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi kerana ianya menyentuh isu wanita (yang belum lagi disebut), kesihatan mental, peristiwa bunuh diri, isu MySejahtera dan isu hartal doktor.
Sudah tiba masanya Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet mengakui bahawa kemarau Ordinan Darurat yang bermula pada bulan Januari 2021 sehingga Ogos 2021 (sebelum pengumuman penarikan) sebagai satu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 ini dan sekaligus “flatten the curve” jelas telah gagal. Dengan lebih 203 yang meninggal dunia semalam, dan lebih 1 juta rakyat Malaysia yang dijangkiti virus ini, yang lebih teruk lagi adalah ketidakcekapan kerajaan dalam menangani dan menguruskan wabak ini.
- Ramai yang telah mendaftar untuk mendapat vaksin, pada bulan Mac 2021 lagi tetapi belum menerima lagi slot temujanji mereka, ada yang bermastautin in Batu Kawan tetapi telah mendapat temujanji di Jeli, ada yang menerima temujanji tetapi tiba-tiba hilang, saya sendiri, selepas saya terima kedua-dua dos vaksin, saya terkejut menerima SMS akan temujanji saya untuk menerima vaksin AstraZeneca di PWTC pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama, saya juga menyeru agar keutamaan juga diberikan kepada mereka yang telah mendaftar lebih awal lagi dalam bulan Mac tetapi masih menunggu untuk slot mereka. Maka saya harap sistem MySejahtera dapat dinaiktaraf dengan segera untuk melicinkan proses temujanji vaksinasi dan hal yang berkaitan. Pada masa yang sama, saya kurang setuju dengan cadangan untuk mencetak satu lagi ‘kad vaksin’ yang jelas akan melibatkan kos tinggi. Bolehkah kerajaan melihat semula sekiranya maklumat vaksinasi disertakan dalam maklumat cip MyKad? Ini sudah tentu akan mengurangkan kos dan memudahkan semua proses paperwork yang terlibat.
- Golongan wanita, terutama wanita dalam golongan B40, wanita yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga, golongan ibu tunggal, golongan ibu tinggal dan wanita yang berada di Kawasan luar bandar, merupakan golongan yang terbesar yang menerima pukulan lockdown demi lockdown. Dalam suku tahun kedua 2020, dalam tempoh PKP1.0, kadar pengangguran wanita telah meningkat ke 5.5% berbanding dengan 4.7% untuk lelaki. Apakah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang diantara penglibatan lelaki dan wanita terutamanya dalam alam pekerjaan supaya mereka boleh menjana pendapatan sendiri atau untuk mereka diserapkan ke alam pekerjaan semula? Ramai wanita, sebagai ketua rumah harus menggalas tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan keluarga mereka, maka apakah bentuk sokongan yang wujud untuk mereka ini?
85 ribu wanita telah keluar dari workforce berbanding dengan 6200 lelaki. Bukankah ini satu statistik yang memeranjatkan? Bagaimana wanita ini dapat menjalankan kehidupan mereka selepas diberhentikan kerja, dipotong gaji? Siapa yang akan membayar utiliti dan bil bil mereka? Ini belum kira lagi dugaan mereka untuk memperoleh peranti laptop untuk anak-anak mereka? Disebabkan kurang perancangan yang mendalam bagi golongan ini, maka ramai wanita dan lelaki diluar sana terpaksa meminjam wang dari peminjam wang atau Ah Long. Tidak cukup menasihati golongan rentan untuk tidak meminjam wang sekiranya tiada jalan penyelesaian yang diusahakan atau disediakan oleh pihak kerajaan.
Gaji minima layak untuk Penjana Kerjaya 3.0 telah diturunkan ari RM1500 kepada RM1200. Walaupun ini satu langkah yang baik, namun ini masih tidak merangkumi sebahagian besar golongan rentan wanita. Bagaimana nasib ibu tunggal berpendapatan dibawah RM980, menggunakan ukuran paras garis kemiskinan lama? Bagaimana Pelan Pemulihan Negara akan sampai ke pintu rumah mereka? Tempoh kontrak pekerjaan minima untuk memenuhi syarat Penjana Kerjaya 3.0 telah dilonggarkan dari sekurang-kurangnya setahun kepada 6 bulan. Kelonggaran ini memang membantu pekerja yang berumur 50 tahun dan keatas, OKU dan bekas banduan. Namun tiada pengecualian dibuat untuk golongan rentan wanita.
Menurut statistik Women’s Aid Organisation, sekitar 8% atau 2.6 juta dari dewasa di Malaysia tidak mempunyai akaun bank dan 55% daripada mereka adalah wanita. 86% dari 8% ini tidak mempunyai pendapatan tetap atau tidak berpendapatan langsung. Bagaimana Pelan Pemulihan Negara dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada wanita dan lelaki yang tidak mempunyai akaun bank ini? Bagaimana untuk memastikan golongan rentan ini tidak tercicir dalam arus pembangunan negara?
Anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi kesihatan mental hanyalah 0.98%. Bagaimana kerajaan akan naikkan peruntukan tersebut untuk mencapai 2.4% untuk menjadikan belanjawan kesihatan mental sejajar dengan piawaian antarabangsa? Menurut World Health Organisation, Malaysia perlu menambah jumlah pakar psikiatri dari 268 sekarang kepada 3100, iaitu bersamaan dengan 10 kali ganda bilangan pakar dalam bidang kesihatan mental. Bagaimana Pelan Pemulihan Negara dapat mencapai angka ini memandangkan kita hanya ada 10% daripada bilangan pakar psikiatri yang disyorkan? Bagaimana RM15juta dari PEMULIH untuk sokongan psikososial disalurkan? Kemana RM15juta tersebut disasarkan?
Peruntukan untuk Kesihatan Mental kepada Kementerian Kesihatan pada tahun 2021 adalah RM313.4juta, penurunan RM31.4juta berbanding peruntukan RM344.8juta pada tahun 2020. Tahun ini sahaja, 486 insan yang telah mengambil tindakan membunuh diri. Tekanan akibat menjadi pesakit COVID-19, tekanan kesempitan kehidupan, tekanan kehilangan pekerjaan, cabaran kesihatan mental dan faktor-faktor yang lain. Sehingga kini, tiada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri untuk “address” perkara ini.
Dengan peningkatan jenayah keganasan rumahtangga, kapasiti pekerja sosial dan bantuan undang-undang adalah kunci kepada sistem perlindungan wanita. OSCC harus disokong dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM30juta, perlu ada peruntukan untuk melaksanakan latihan modul dan standard pengurusan untuk melatih responden barisan hadapan polis, pegawai perubatan, dan pegawai kebajikan sosial. Ini berikutan laporan UN Women selepas PKP1.0, jumlah carian atas talian (online search) di Malaysia untuk maklumat tentang cara mendapatkan bantuan akibat keganasan rumahtangga meningkat sebanyak 70%.
Pelan Pemulihan Negara harus mencerminkan maksud tajuknya iaitu untuk memulih negara dan bukannya untuk menyusahkan rakyat lagi.