Skip to content

Menyeru Kerajaan Negeri Perak supaya menjawab soalan-soalan mengenai hutan simpanan kekal dalam sidang DUN Perak yang akan datang

Saya menyeru Kerajaan Negeri Perak supaya menjawab soalan-soalan mengenai pendapatan yang diperolehi menerusi kegiatan pembalakan di kawasan hutan simpanan kekal.

Hutan simpanan kekal meliputi kawasan seluas 4,450.43 hektar. Selama ini, kegiatan pembalakan dibenarkan di kawasan tersebut. Notis berhampiran juga menunjukkan bahawa tanah seluas 80 hektar diluluskan untuk pembalakan. Namun begitu, saya mendapati terdapat kekurangan ketelusan dalam tindakan meluluskan permohonan pembalakan di kawasan hutan simpanan, jumlah pendapatan yang diperolehi daripada kegiatan pembalakan dan usaha penanaman semula hutan.

Beberapa hari yang lalu, saya mendaki bukit di kawasan hutan tersebut dan mendapati puncak bukit tersebut digondolkan.

Penduduk setempat berkata bahawa tanah tersebut diluluskan untuk pembangunan beberapa tahun lalu. Selepas pokok ditebang, tempat tersebut dibiarkan lapang dan kegiatan penanaman semula hutan tidak dijalankan.

Tanah akan terdedah kepada hakisan tanpa liputan tumbuhan. Hujan yang lebat mempercepatkan proses kegagalan cerun terutamanya cerun di tebing. Kini terdapat keretakan yang cukup panjang dan lebar di tebing bukit. Selain itu, saya mendapati terdapat longgokan kayu balak berdekatan Sungai Batu. Notis yang dipaparkan menyatakan bahawa kegiatan pembalakan mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri bagi tempoh enam bulan, iaitu Mac hingga September.

Sidang Dewan Negeri akan diadakan pada 8 Ogos dan saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai hutan simpanan kekal. Soalan-soalan saya termasuk bilangan lesen yang diluluskan, jumlah pendapatan yang kerajaan negeri perolehi dan bilangan kes pembalakan haram.

Selain kegiatan penebangan pokok boleh dijalankan di kawasan hutan simpanan kekal, Jabatan Perhutanan Negeri juga boleh menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat senaman untuk penduduk setempat. Melalui kegiatan mendaki bukit, penduduk juga boleh mengenali flora dan fauna serta ekosistem hutan simpanan.

Saya akan menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri untuk mengemukakan cadangan ini supaya penduduk mempunyai tempat senaman alternatif.