Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) 2026 – 2030 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ sebagaimana diumumkan oleh YAB Pedana Menteri di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Berbekalkan objektif bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, darjat hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola baik ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI, intipati RMKe-13 yang ditunjangi peralihan kepada pendigitalan, teknologi termaju serta pembentukan sistem sosial berteraskan insan MADANI dilihat seiring dengan matlamat mempercepat pencapaian Visi Penang2030 yang digagaskan sejak tahun 2018 di negeri ini.
Justeru, Pulau Pinang akan terus menggembleng sumber dan penyertaan rakyat untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi, meningkatkan pengaruh serta imej positif negara di persada dunia di samping memastikan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera dan alam sekitar yang lestari sebagaimana diaspirasikan.
Sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, pastinya Pulau Pinang berterima kasih terhadap fokus projek-projek tersenarai yang bakal memberi pulangan pelaburan bernilai tinggi kepada negeri Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya. Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang masih memainkan peranan yang signifikan terhadap pelaburan negara, dan bakal merealisasikan visi negara untuk terus menjadi peneraju industri semikonduktor bernilai tinggi.
Bagi projek-projek pembangunan infrastruktur seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Lebuhraya PLUS (Laluan Juru – Sungai Dua) bukan sahaja akan menambah baik prasarana bahkan bakal memperluas kesalinghubungan sedia ada. Begitu juga projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang akan menambah baik pengalaman pengguna yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengharapkan ia dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa dirancangkan demi memastikan keterhubungan antara wilayah dapat diperkukuh sekali gus merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang di negeri ini.
Dalam pada itu, Pulau Pinang juga mengalu-alukan pengumuman penaiktarafan Klinik Desa Padang Menora, Seberang Perai Utara yang ditunggu-tunggu oleh lokaliti setempat. Semoga penaiktarafan ini akan membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
Sementara itu, pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan pembangunan pertanian bersepadu juga bakal memberi kelebihan kepada negeri ini untuk kekal sebagai pengeluar purata hasil padi tertinggi dalam negara sekali gus mengekalkan rantaian keterjaminan makanan sedia ada.
Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pengumuman ini akan disusuli dengan perincian lanjut termasuk hala tuju serta strategi yang perlu diteliti. Pendekatan susulan akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi membolehkan kita sama-sama merealisasikan komitmen yang diumumkan demi mandat rakyat di negeri serta negara ini.
Sekian, terima kasih.