Skip to content

Sokong cadangan kerajaan pusat untuk meminda undang-undang untuk membenarkan cuti 7 hari tanpa rekod kepada pekerja swasta untuk membolehkan mereka membantu isteri mereka yang baru bersalin

Saya menyokong cadangan kerajaan pusat untuk meminda undang-undang untuk membenarkan cuti 7 hari tanpa rekod kepada pekerja swasta untuk membolehkan mereka membantu isteri mereka yang baru bersalin.

Usaha ini amat penting kerana ia akan memberikan golongan suami masa untuk membantu isteri untuk menguruskan hal rumah tangga. Kebanyakkan keluarga kini terdiri daripada pasangan suami isteri yang turut bekerja, dan ramai antara mereka yang tinggal jauh daripada ibu bapa, terutamanya yang menetap di kawasan bandar. Oleh itu, golongan suami harus diberikan faedah seperti cuti 7 hari tanpa rekod, untuk menyenangkan mereka memikul tanggungjawab dan membantu isteri dan bayi.

Banyak negara lain telah melaksanakan cuti tanpa rekod bagi suami seperti Negara Singapura; 14 hari, Norway; 10 minggu dan juga Korea Selatan sebanyak 5 hari.

Kaum wanita selalunya menghadapi rintangan kerjaya yang lebih mencabar daripada kaum lelaki, dan ini adalah antara sebab ramai wanita memilih untuk tidak kembali ke bidang kerjaya selepas berkahwin atau bersalin. Masih terdapat kebanyakan majikan yang mempunyai persepsi bahawa mengambil lelaki sebagai pekerja adalah lebih senang daripada wanita kerana mereka tidak perlu mengambil cuti bersalin, menyusu anak dan sebagainya.

Ramai majikan bimbang pengubalan tersebut akan membawa impak negatif pada tahap produktiviti, namun saya menasihat untuk melihat perkara ini sebagai faedah tambahan kepada pekerja yang mampu meningkatkan kesetiaan dan mengekalkan pekerja berprestasi tinggi terus berkhidmat.

Dengan adanya faedah cuti tanpa rekod bagi kaum bapa ini, ia mampu mengurangkan pandangan diskriminasi terhadap golongan wanita dan membentuk masyarakat yang lebih berterangkuman gender.