Skip to content

Sokong inisiatif untuk membantu golonga muda semasa krisis Covid-19 ini iaitu lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta

Salah satu inisiatif yang diumumkan untuk membantu golonga muda semasa krisis Covid-19 ini adalah lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta.

Secara prinsip, saya menyokong inisiatif ini.

Walau bagaimanapun, persediaan yang mencukupi dan perancangan yang teliti adalah amat diperlukan untuk memastikan bahawa kedudukan kewangan PTPTN dan juga bakal peminjam baharu tidak terjejas.

Secara purata, PTPTN perlu menyediakan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 orang peminjam baharu dan 420,000 orang peminjam sedia ada.

Pinjaman atau sukuk dari institusi kewangan merupakan sumber kewangan utama PTPTN. Setakat 2019, geran dari Kerajaan Persekutuan adalah RM5.295 bilion, yang telah disalurkan pada 1997 hingga 2002. Sejak 2003, tiap-tiap tahun PTPTN mengumpul dana melalui pinjaman atau sukuk. Jumlah keseluruhan dana pinjaman jangka panjang PTPTN setakat 2019 adalah RM54.2 bilion dan jumlah yang telah dibayar adalah RM16.9 bilion.

Sekiranya Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membantu PTPTN untuk melaksanakan pinjaman secara bersindiket dengan institusi kewangan ataupun menerbitkan program Sukuk Berjaminan dengan dalam tempoh masa terdekat, Kerajaan perlu menjelaskan apakah pendekatan mereka untuk memastikan bahawa PTPTN mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pinjaman keapda peminjan baharu dan peminjam sedia ada.