Skip to content

Sokongan penuh kepada Saudara Lim Kit Siang sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat

Baru-baru ini ada pelbagai spekulasi berkenaan dengan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sidang parlimen ke-14. Salah satu daripada nama yang timbul adalah Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan pemimpin kanan parti DAP iaitu Saudara Lim Kit Siang.

Spekulasi bahawa nama Saudara Lim Kit Siang dilontarkan sebagai speaker Dewan Rakyat adalah sesuatu yang menarik khususnya bagi ahli-ahli parti DAP serta penyokongnya yang menyanjung tinggi pemimpin politik terulung ini. Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY) dengan ini menyokong penuh Saudara Lim Kit Siang sebagai Speaker Dewan Rakyat penggal ke-14.

Jasa Saudara Lim untuk mengukuhkan demokrasi serta memelihara hak semua rakyat Malaysia sejak beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 1969 adalah perjuangan tidak terhingga. Malah hujah-hujah beliau mempertahankan perlembagaan persekutuan dan menyuarakan isu-Isu rakyat tanpa mengira latar belakang adalah sesuatu yang sukar ditandingi oleh mana-mana.

Saudara Lim juga mempunyai Ijazah undang-undang yang beliau peroleh ketika dalam tahanan ISA. Oleh itu beliau fasih akan undang-undang negara serta memahami akan ‘standing order’ dewan rakyat.

Kadar kerja dan disiplin tinggi ahli-ahli serta wakil rakyat daripada parti DAP juga adalah kerana bimbingan dan ketegasan beliau yang sentiasa mengingatkan kepada semua bahawa perkhidmatan penuh kepada rakyat tanpa mengira latar belakang atau situasi adalah amat penting. Beliau sentiasa menegaskan amanah dan mandat yang diberikan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diperlekehkan terutamanya selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 baru-baru ini.

Kami percaya sepanjang pengalamannya sebagai seorang Ahli Parlimen pembangkang selama ini dan sekarang kerajaan, beliau akan berlaku adil dan tegas kepada semua untuk memastikan bahawa sistem demokrasi berparlimen akan dipelihara demi kebaikan rakyat sejagat.

Kami juga ingin menyeru kepada rakan-rakan Pakatan Harapan untuk mempertimbangkan menyokong Saudara Lim Kit Siang sebagai Speaker Dewan Rakyat penggal ke-14 yang akan bersidang minggu depan. Umum diketahui bahawa beliau amat berkebolehan dan pemilihan jawatan speaker perlu dilihat dari sudut pengalaman dan kebolehan.