Skip to content

Sokongan penuh terhadap pemilihan Y. Bhg. Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor

Saya bersama DAP Wanita Kebangsaan dengan ini ingin menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Y. Bhg. Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor. Saya berasa gembira Pakatan Rakyat dapat mencapai konsensus atas pemilihan ini. Harapan saya setiap pihak dapat menghormati keputusan ini selari dengan amalan sistem demokrasi di negara ini.

Y. Bhg. Dr Wan Azizah Wan Ismail didapati berkelayakan menyandang kedudukan ini kerana beliau berjaya memimpin semasa tempoh reformasi. Diberi tanggungjawab sebagai Presiden PKR dan pemimpin dalam keluarga ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjara membuktikan beliau berpengalaman dalam mengharungi krisis. Memiliki latar belakang perubatan sebagai Pakar Mata, Ahli Parlimen sejak 1999, Ketua Pembangkang dari Mac 2008 hingga Ogos 2008 dan kini sebagai ADUN Kajang tidak menafikan kebolehan beliau sebagai Menteri Besar pula. Pengalaman dan pendidikan ini menyiapkannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Berbanding bekas Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Mohamed Khir Toyo mempunyai kelulusan sebagai doktor gigi dan menjawat kedudukan Menteri Besar pada umur 35 tahun manakala Dato’ Seri Najib Razak dilantik menjadi Menteri Besar Pahang ketika hanya berumur 29 tahun.

Penglibatan wanita dalam pembuatan keputusan ini menjadi tanggungjawab nasional. Justeru, tanggungjawab sebagai Menteri Besar memerlukan kerjasama semua pihak yang dipilih dan wanita terbukti memainkan peranan penting dalam semangat berpasukan. Negara akan mendapat manfaat sekiranya kedua-dua gender lelaki dan wanita membangunkan sosioekonomi.

Walaupun penyertaan wanita masih sangat rendah di peringkat kepimpinan kerajaan, namun saya percaya bahawa dengan berganding bahu dan bekerjasama erat sesama sendiri, kita akan berjaya mencapai kejayaan yang bermakna, sedikit demi sedikit. Di Pulau Pinang misalnya, kita mempunyai banyak wanita yang dipilih dan dilantik sebagai pembuat keputusan di peringkat Kerajaan Tempatan sebagai Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran bagi kedua-dua MPPP dan MPSP serta di peringkat Kerajaan Negeri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) iaitu saya sendiri. Begitu juga di peringkat Kerajaan Persekutuan sebagai Ahli Parlimen, penyertaan wakil wanita dari parti semakin meningkat.

Seorang wanita yang yakin dan berilmu mampu mempengaruhi dan membawa perubahan positif kepada keluarga, masyarakat sekeliling dan negara. Sebagai pemimpin, wanita membawa bakat dan perspektif berlainan yang juga sama penting kerana mereka lebih biasa dengan keperluan golongan yang berbeza termasuk kanak-kanak, OKU dan warga tua. Perspektif ini tentu sekali menyumbang kepada gambaran yang lebih holistik dalam membangunkan negara dimana wanita merupakan kelompok masyarakat terbesar di samping lelaki. Satu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan segala bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, CEDAW (United Nations Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Against Women) yang dipersetujui Malaysia juga menjamin penyertaan penuh wanita dalam masyarakat dan pada semua peringkat proses pembuatan keputusan.

Dengan ini sekali lagi saya mengucapkan syabas atas kesepakatan yang telah dicapai sekaligus bakal mencipta sejarah Menteri Besar wanita pertama di Malaysia!