Dengan berslogankan #SolidarityForAsheeqAli, DAPSY Selangor akan melancarkan kempen kutipan derma RM10 setiap orang untuk membantu aktivis siswa UKM, Asheeq Ali yang telah memfailkan saman terhadap UKM ekoran tindakan UKM yang telah menggantung pengajiannya.
Tujuan kempen #SolidarityForAsheeqAli adalah untuk mengumpulkan dana bagi kos mahkamah dan kempen tersebut turut merupakan tanda solidariti DAPSY kepada aktivis mahasiswa-mahasiswi yang lantang bersuara dan ditindas oleh UMNO BN dengan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU). Adalah dianggarkan bahawa kos mahkamah untuk pemfailan kes tersebut adalah RM5,000.00 dan jumlah kos mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa susulan rayuan kes.
President SUF UKM, Asheeq Ali telah digantung selama satu semester dan didenda sebanyak RM200.00 lantaran penglibatannya dalam himpunan Tangkap MO1 yang diadakan pada 27 Ogos 2016. Selain pihak UKM, Asheeq Ali turut menamakan 2 lagi defendan dalam samannya, iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan Malaysia dengan menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
DAPSY Selangor ingin menegaskan bahawa setiap warganegara Malaysia, termasuklah semua mahasiswa dan mahasiswi, adalah dijamin hak perlembagaan untuk berhimpun serta berekspresi. Pihak universiti ternyata sekali telah mengetepikan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi Malaysia demi menzalimi pemimpin mahasiswa di samping melindungi kepentingan Perdana Menteri Najib Razak ataupun dikenali sebagai MO1.
Kempen #SolidarityForAsheeqAli akan bermula pada hari ini sehingga 24.01.2016. Jumlah kutipan derma turut akan diumumkan selepas tamatnya kempen ini.
Sekali lagi DAPSY Selangor menyeru orang ramai untuk menyatakan sokongan dan solidariti kepada Asheeq Ali dengan menyumbang dalam kempen kutipan derma RM10 setiap orang. Kita tidak harus membiarkan Asheeq dalam perjuangan melawan AUKU secara bersendirian.
Sumbangan boleh disalurkan kepada DAPSY Selangor 3162088409 (Public Bank Berhad) dan orang ramai bolehlah menghubungi penganjur kempen #SolidarityForAsheeqAli di atas talian 019-2336469 untuk sebarang pertanyaan.