Skip to content

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun harus segera bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh seawal mungkin bagi sesi persidangan Parlimen

Berikutan titah Yang di-Pertuan Agong semalam, bahawa Proklamasi Darurat tidak melarang sidang Parlimen atau membatalkan fungsi dan kuasa perlembagaannya, speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun harus segera bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh seawal mungkin bagi sesi persidangan Parlimen.

Sebagai Speaker Parlimen Azhar harus menjunjung, mempertahankan dan memelihara kebebasan, kedaulatan dan kuasa tunggal Parlimen dengan mengembalikan fungsi dan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Malangnya Azhar gagal menjalankan tugasnya dengan membenarkan pihak Eksekutif untuk menggantikan dan mengatasi kedaulatan Parlimen dengan menyokong dan bukannya mengecam penggantungan Parlimen.

Sebaliknya, Agong telah menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi berbanding Azhar mengenai kepentingan Parlimen dan menghormati mandat pilihan raya daripada rakyat. Azhar tidak boleh sekadar duduk, goyang kaki dan menunggu perkembangan atau arahan Perdana Menteri, yang semestinya ingin menangguhkan sidang parlimen. Azhar harus menyesali kegagalannya dan menebus kesilapan di masa lalu dengan mendesak sesi Parlimen seawal mungkin untuk mengembalikan demokrasi dan kuasa rakyat.

Oleh kerana Azhar sendiri dipanggil mengadap Agong berkenaan perkara ini, beliau harus menganggap perkara mengadakan sidang Parlimen seawal mungkin ini sebagai satu keutamaan. Pemimpin PH juga akan meminta pertemuan seawal mungkin dengan Azhar untuk menyampaikan kepentingan mengembalikan demokrasi Parlimen agar kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, tidak akan lenyap di bawah kerajaan PN.