Skip to content

Speaker Parlimen perlu sedar bahawa sains dan data serta fakta dan angka membuktikan bahawa menggantung Parlimen tidak ada kaitan dengan kejayaan memerangi COVID-19

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah menyerang pengkritik Darurat yang sedang berjalan sebagai selektif dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan keuntungan politik, berikutan Timbalan Speaker Azalina Othman secara lantang dan terbuka menuntut agar sidang Parlimen dibenarkan untuk diadakan semula. Azhar mendakwa dia bukan seorang ahli politik dan tidak mempunyai cita-cita politik atau populisme, dan tidak seperti pengkritiknya, dia memahami konsep pembahagian kuasa, seperti yang termaktub dalam ‘benda kecil’ yang dikenali sebagai Perlembagaan.

Azhar memberi justifikasi penggantungan Parlimen oleh Eksekutif sebagai berlandaskan perlembagaan dan sah, bertentangan dengan video dia sebelum ini di bawah Art Harun di mana dia menekankan berulang kali bahawa Parlimen adalah cabang tertinggi. Bagi seorang Speaker Parlimen untuk membenarkan penghinaan atau pengurangan kuasa Parlimen dengan tunduk kepada Eksekutif, bukan hanya tidak bertanggungjawab dan menyerahkan kuasa tetapi juga merupakan tindakan pengkhianatan terhadap perlembagaan. Mempertahankan Kerajaan PN seperti ini adalah sikap politik oportunis, bertentangan dan tidak sesuai dengan peranannya sebagai Speaker Parlimen untuk menegakkan, melindungi dan mempertahankan ketinggian Parlimen.

Selanjutnya, Azhar secara jelas mengabaikan kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Agong selepas Azhar menghadap Agong, di mana Agong menyatakan bahawa Darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang untuk menjalankan urusan biasa Parlimen. Adakah Speaker Dewan Rakyat ingin mengatakan bahawa Agong salah dan tidak memahami “benda kecil” yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan apabila Agong merasakan bahawa Darurat tidak melarang persidangan Parlimen?

Azhar juga mengabaikan bahawa fakta dan angka serta sains dan data, tidak menyokong premis bahawa Pengisytiharan Darurat dan penggantungan Parlimen membantu negara memerangai dan mengatasi wabak COVID-19. Semasa Darurat diisytiharkan pada 12 Januari, terdapat 3,309 kes jangkitan harian dan 141,533 kes kumulatif, 4 kematian harian dan jumlah kumulatif kematian sebanyak 559. Pada 3 Jun, terdapat 8,209 kes jangkitan harian dengan 595,374 kes kumulatif, 103 kematian harian dan jumlah kumulatif kematian 3,096. Hampir 5 bulan setelah Darurat diisytiharkan pada 12 Januari, jumlah kematian meningkat lebih dari 5 kali ganda sementara jangkitan meningkat lebih dari empat kali ganda, menghancurkan sepenuhnya dakwaan palsu bahawa menggantung Parlimen dapat membantu mengekang COVID-19.

Mencari Jawapan Di Parlimen Untuk Mempercepatkan Proses Vaksinasi Demi Menyelamatkan Dan Melindungi Kesihatan Dan Nyawa Rakyat Malaysia.

Kegagalan keseluruhan kerajaan oleh PN untuk mengurus COVID-19 tidak terhad kepada amalan dua darjat dalam menguatkuaskan sekatan PKP antara golongan VIP dan rakyat biasa atau pada siri berulang dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP COVID-19. Kadar vaksinasi yang perlahan dan kelewatan penghantaran bekalan vaksin walaupun telah memperuntukkan RM5 bilion dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara tanpa kelulusan Parlimen, telah memburukkan lagi defisit kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan PN.

Memandangkan kepercayaan adalah mata wang kesihatan awam, mengembalikan Parlimen yang membenarkan Ahli Parlimen untuk menjalankan tugas mereka terhadap pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan akan membantu memulihkan kepercayaan awam serta mencari jawapan bersama untuk melihat bagaimana kita dapat mempercepatkan Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksinasi adalah satu-satunya jalan penyelesaian, dan proses vaksinasi yang cepat dan lancar diperlukan untuk membantu kita mencapai imuniti kelompok 80% penduduk yang dapat menyelamatkan dan melindungi kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia.