Skip to content

SPR berperanan memberhentikan manipulasi sistem pilihanraya

Saya berasa kesal dengan jawapan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Mohd Johari Baharum yang cuba membela keputusan pihak Kementerian membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mewujudkan lokaliti untuk Kem Segamat yang masih belum siap dan mendaftarkan sebanyak 1,051 orang pemilih tentera dan pasangan mereka di lokaliti tersebut.

Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Seremban, YB Anthony Loke Timbalan Menteri sendiri mengakui bahawa Kem Segamat masih belum siap dibina tetapi beliau juga bertegas dan berulang-ulang kali menekankan bahawa anggota-anggota tentera yang tersebut telah mula menjalankan operasi di Segamat tanpa memaklumkan secara terperinci apakah tugas yang dimaksudkan itu? Apakah operasi itu merupakan sesuatu yang penting dan cemas perlu dijalankan segera walaupun kem belum siap dibina?

Jawapan Timbalan Menteri itu sekali lagi menunjukkan kelemahan Kementerian dalam membuat rancangan penempatan pasukan dan penyediaan kemudahan infrastruktur. Bagaimanakah Kementerian boleh membiarkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan operasi dalam keadaan kem pun belum siap dibina? Sedangkan operasi bukan sesuatu peristiwaan luar jangkaan yang memerlukan tindakan segera, lebih-lebih lagi terdapat sebuah kem di Gemas terletak kurang daripada 20km daripada Segamat.

Kegagalan pihak Kementerian Pertahanan menjawab persoalan-persoalan di atas menunjukkan bahawa ini merupakan sekali lagi percubaan UMNO-BN untuk memanipulasi Daftar Pemilih untuk memastikan kemenangan mereka di Segamat.

Pihak Pakatan Harapan Johor telah membuat bantahan ke atas kesemua pemilih yang telah didaftarkan di Kem Segamat yang belum siap dibina itu. Pendengaran Siasatan Awam selama 5 hari untuk bantahan-bantahan itu telah dijadualkan dari 4 hingga 10 Disember 2017 (5 hari bekerja).

Daripada jawapan pihak Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat kami telah sedikit sebanyak dapat membuat anggaran berkenaan keputusan pendengaran yang bakal dijalankan bermula minggu depan.

Bagaimana pun, saya ingin mengingatkan pihak SPR bahawa Perlembagaan Persekutuan Perkara 119 jelas menggariskan syarat seorang warganengara layak berdaftar sebagai pemilih di sesuatu kawasan pilihanraya termasuklah pemilih itu bermastautin di kawasan tersebut.

Sekali pun jawapan pihak Kementerian bahawa 1,051 anggota dan pasangan yang terbabit itu telah menjalankan operasi di merata-rata itu benar persoalan yang timbul ialah mengapakah tidak mereka ini didaftarkan berdasarkan alamat sebenarnya mereka bermastautin di Segamat tetapi di kem yang masih belum siap dibina?

SPR perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia apakah pertimbangan pihak SPR meluluskan permohonan oleh Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan suatu lokaliti baru dalam keadaan kem masih belum siap dibina?

Oleh yang demikian, SPR adalah diingatkan tentang peranan mereka sebagai badan bebas yang bukan sahaja menjalankan Pilihan Raya di negara kita malah mereka juga berperanan mempertahankan kewibawaan dan kebebasan sistem pilihanraya negara kita.

Apa pun, kami telah bersedia menghadapi senario yang paling teruk walaupun melibatkan implikasi kewangan yang serius terhadap kami.

Sekiranya SPR akhirnya gagal bertindak bebas kami akan terus membuat rayuan dan menuntut keadilan melalui apa jua saluran atau cara yang dibenarkan di sisi undang-undang.