Skip to content

SPR gagal dalam mempertahankan sistem pilihanraya yang bersih dan adil

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi penjelasan kepada seluruh warga Malaysia rasional pihak mereka tergesa-gesa membuat pameran kali kedua dengan mengecualikan negeri Selangor memandangkan proses siasatan tempatan bagi negeri Selangor masih belum selesai. SPR wajib menjelaskan kepada kita adakah perbuatan ini melanggari Perlembagaan?

Pameran Kedua kali ini membuktikan bahawa SPR gagal dalam menjalankan tugasnya. Jurang perbezaan antara bahagian-bahagian pilihanraya menjadi semakin luas. (Rujuk Jadual 1, 2, 3 & 4). Matlamat terpenting menjalankan Persempadanan Semula adalah untuk merapatkan jurang perbezaan antara kawasan pilihan raya yang ramai pemilih dan yang kurang pemilih. Bukan hanya untuk tujuan kesenangan pentadbiran, tetapi juga untuk mememenuhi syarat keadilan dan kesaksamaan.

Apa yang berlaku adalah songsang. Kerusi DUN yang paling besar dari segi bilangan pemilih pada PRU-13 adalah 3.9 kali lebih besar daripada kerusi yang paling kecil. Persempadanan semula sepatutnya mengurangkan jurang perbezaan tersebut, ke arah “satu orang, satu undi, satu nilai”. Tetapi sekarang, kerusi yang terbesar menjadi lebih besar, iaitu 4.7 kali lebih besar daripada kerusi terkecil.

Selain itu, persempadanan semula ini jelas kelihatan berhasrat membantu Parti BN mengukuhkan kedudukan di kerusi bahaya mereka, khususnya Kota Iskandar (Nusajaya), Mahkota dan Paloh, dan merampas kerusi marginal Parti Pembangkang iaitu Pekan Nenas dan Pengkalan Rinting. SPR melalui amalan Gerry Mandering telah memindahkan Daerah Mengundi ke sana-sini berdasarkan pola mengundi PRU13 di DM-DM ini tanpa mengambil kira kesesuaian faktor geografi dan kepentingan masyarakat setempat.

Taktik kotor Barisan Nasional dan konco-konconya dalam SPR betul-betul merosakkan sistem pilihan raya dan kepentingan negara. Saya yakin seluruh rakyat Malaysia akan bersatu dan bangkit menentang ketidak adilan tersebut untuk menyelamatkan negara tercinta. Kali terakhir sempadan pilihan raya diubah pada tahun 2003, BN yakin ia menjamin kemenangan mereka. Tetapi apa berlaku pada tahun 2008 dan 2013. BN hampir kalah.

Jadi, pada PRU-14 yang akan datang, sekiranya sempadan baru pilihan raya dipaksa lulus, itupun belum pasti BN akan menang. Malah, ia mungkin menambah lagi kemarahan dan kejemuan rakyat terhadap Barisan Nasional.

Saya menyeru kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil supaya sama-sama melibatkan diri dalam membuat semakan kepada syor kajian semula persempadanan kali ini dan membuat bantahan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.