Skip to content

SPR sabotaj usaha pembangkang mendaftar pemilih baru

Suruhanjaya Pilihanraya Selangor (SPR) harus bersikap adil apabila menguruskan hal pilihanraya terutamanya pendaftaran pengundi baru. SPR telah mengamalkan sikap berat sebelah kebelakangan ini dengan tidak bekerjasama dengan wakil rakyat daripada parti pembangkang. Menurut sejarah penubuhan SPR yang dipaparkan di laman web rasminya, menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih adalah merupakan antara tiga fungsi utama SPR. Justeru itu, adalah tidak professional bagi SPR untuk tidak memberi kerjasama yang mencukupi kepada mana-mana pihak yang berhasrat membantu mendaftar pemilih baru.

Pejabat saya telah mengemukakan cadangan untuk menganjurkan kempen pendaftaran pemilih bersama SPR sebanyak 12 kali sejak tahun 2016 tetapi hanya 2 kali ia berjaya di anjurkan. Mereka akan menolak cadangan kami dengan pelbagai alasan termasuk dengan alasan mereka telah merancang aktiviti lain dengan labih awal lagi dan sebagainya. Ini berlaku di seluruh Selangor termasuk kawasan Subang yang jemputan kepada SPR untuk menjalankan pendaftaran pemilih baru sempena satu program ‘Teh Tarik bersama Lim Kit Siang’ yang di jadualkan pada 15hb Mac 2017 di tolak. Dengan penangguhan proses pendengaran awam cadangan persempadanan semula di Selangor, SPR sepatutnya mempunyai masa lapang yang lebih banyak jika berbanding dengan negeri lain dan seharusnya memenuhi undangan kami yang berniat membantu mereka.

Masalah ini tidak seteruk ini sebelum Datuk Seri Hisham Abdullah di lantik sebagai pengerusi baru SPR menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang bersara pada Januari 2016. SPR harus berterima kasih kerana kami sudi membantu urusan mereka dan sepatutnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami. Perkara ini jelas menunjukkan kegagalan dan ketidakcekapan SPR memikul tanggungjawab mereka bagi memastikan warganegara Malaysia yang layak menjadi pengundi didaftarkan sebagai pengundi. Saya melihat ia sebagai tindakan sabotaj kerana sekiranya merujuk kepada corak mengundi pada PRU 13, pengundi generasi X lebih memihak kepada pakatan pembangkang kerana kehilangan keyakinan terhadap UMNO dan BN.