Suruhanjaya Pilihanraya berlaku tidak adil dalam urusan pengendalian pendaftaran pengundi. Sebelum PRU13, parti-parti politik boleh membuat pendaftaran pengundi baru. Ini membolehkan parti-parti politik secara giat membantu SPR membuat pendaftaran pengundi baru. Walaupun pihak SPR tidak membenarkan penolong-penolong pendaftar parti politik membuat pertukaran alamat, tetapi sekurang-kurangnya boleh membuat pendaftaran pengundi baru.
Parti-parti politik merupakan kumpulan berkepentingan dalam hal ini. Oleh yang demikian adalah wajar untuk membenarkan wakil-wakil parti politik untuk dilantik sebagai penolong-penolong pendaftar SPR.
Selepas PRU13, tiba-tiba SPR tidak lagi mahu melantik semula penolong pendaftar parti politik. SPR memberi alasan yang tidak munasabah. Kononnya, SPR sedang membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan kaedah-kaedah yang sedia ada. Ini adalah satu jawapan yang tidak rasional. SPR boleh membuat kerja-kerja penyelarasan disamping penolong-penolong pendaftar menjalankan kerja-kerja pendaftaran pemilih baru.
Kerja-kerja pendaftaran pemilih baru tidak boleh diberhentikan. Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pendaftaran sekiranya seseorang warganegara yang mencapai umur 21 tahun ingin menjadi pengundi. Oleh itu, kerja-kerja pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat masih dilaksanakan oleh SPR selepas PRU13. Tetapi, peliknya, SPR tidak mahu melantik penolong-penolong pendaftar dari kalangan wakil-wakil parti politik.
SPR juga telah melantik jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan tertentu untuk membantu membuat kerja-kerja pendaftaran pengundi baru. Selain itu, ketua-ketua kampung dan Ketua-ketua kampung baru juga dilantik untuk membuat tugas yang sama. Pejabat-pejabat SPR Majlis Daerah, Pejabat Tanah dan Pejabat Pos juga turut dijadikan pusat-pusat untuk mendaftar pengundi baru dan bertukar alamat. Jika pihak-pihak ini boleh membuat kerja-kerja pendaftaran pemilih, kenapa tidak wakil-wakil parti politik?
Nyata sekali Barisan Nasional telah takut kepada kekuatan pihak pembangkang yang secara giat membuat pendaftaran pengundi sebelum ini. Selepas prestasi Barisan Nasional turun dalam PRU13, SPR telah diarahkan supaya tidak melantik lagi wakil-wakil parti politik sebagai penolong-penolong pendaftar. SPR juga nampaknya tidak ada tulang belakang untuk berfungsi sebagai sebuah badan yang berkecuali.
Imej SPR semakin tercemar apabila fungsinya diganggu oleh kerajaan. SPR sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada semua parti politik yang ada di negara ini. Malangnya, SPR telah lupa peranan utamanya sebagai badan neutral dan sentiasa mengikut telunjuk Barisan Nasional.
SPR perlu kembali kepada landasan yang asal. Rakyat harus diutamakan dan bukannya pemimpin-pemimpin kerajaan yang memperkudakan institusi ini. SPR harus melantik semula wakil-wakil parti politik sebagai penolong pendaftar. Ini akan memberi ruangan dan peluang kepada lebih ramai pengundi-pengundi muda untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih.
SPR tidak berkecuali dalam urusan pendaftaran pengundi baru
- 11 October 2015
- Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Batu Gajah
- Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Sabtu, 10 Oktober 2015