Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional patut berhenti bersandiwara mahu membanteras rasuah, sedangkan mereka gagal menghalang skandal RM42 bilion 1MDB ataupun mengambil sebarang tindakan terhadap skandal kehilangan saham Bumiputera RM52 bilion dan skandal RM13.5 bilion Port Klang Free Trade Zone. Jika Ahli-ahli Parlimen BN mahu membuat kenyataan peribadi bagi menunjukkan keikhlasan menjulang integriti dalam kepimpinan, mereka boleh membuat perisytiharan aset bagi memaksa Menteri-menteri dan Perdana Menteri turut melakukannya.
Sebagai sebahagian daripada kerajaan di Pulau Pinang, kesemua ADUN Pakatan Rakyat di Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta secara terbuka bagi menunjukkan komitmen terhadap integriti dalam kepimpinan dan melawan rasuah. Malah Pulau Pinang telah melaksanakan tender terbuka dan menghalang ahli keluarga pemimpin kerajaan daripada berurusniaga dengan kerajaan negeri.
Malangnya, wakil rakyat BN hanya bercakap tentang membanteras rasuah tanpa melaksanakan apa yang mereka kata. Sandiwara jenis ini telah mengakibatkan beberapa siri skandal kewangan. Sebelum skandal kehilangan saham Bumiputera bernilai RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada warga Bumiputera miskin dapat diselesaikan, dan tidak ada yang berlaku terhadap skandal RM13.5 bilion PKFZ, rakyat Malaysia dibebani pula skandal RM42 bilion 1MDB.
Tidak hairanlah kenapa Global Integrity Report yang berpangkalan di Washington menganggarkan bahawa wang haram berjumlah RM1.4 trilion telah mengalir keluar dari negara secara senyap-senyap sepanjang sepuluh tahun lalu. Besarnya nilai RM1.4 trilion ini, jika dibahagikan kepada setiap 28 juta rakyat Malaysia, setiap orang akan kerugian RM50,000. Begitu pun SPRM dan Ahli Parlimen BN tidak kelihatan runsing dan masih boleh bercakap tentang membanteras rasuah tanpa rasa segan silu.
Masalah rasuah tidak akan selesai dengan mengambil pendekatan hipokrit dan sikap burung unta yang menyembunyikan kepalanya ke dalam pasir. Kempen yang tersusun dan bersepadu mesti dijalankan untuk membanteras rasuah sehingga ke peringkat tertinggi, seperti yang sedang dijalankan di China. Skandal 1MDB adalah permulaan yang baik untuk membersihkan Malaysia dan merintis jalan menuju integriti.