Skip to content

SPRM diberi tempoh 24 jam untuk bertindak – 6 kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur

Seminggu selepas hujan lebat berpanjangan pada 18 Disember 2021, Kuala Lumpur telah mengalami banjir yang teruk melibatkan 12 kawasan dan menyebabkan lebih 90 lokasi kejadian tanah runtuh. Ketika DBKL berhempas pulas membersihkan sampah akibat banjir, namun terdapat keperluan untuk mereka berhenti dan melihat semula bagaimana kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, ia telah mendedahkan sepanjang tempoh 2015-2020 bahawa Datuk Bandar telah meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020. Laporan tersebut juga menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlakunya pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas. Kemungkinan pendedahan yang paling mengejutkan dalam laporan ini ialah enam (6) kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan (muka surat 6-2). Tukar guna ini bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur Flood Mitigation seterusnya mendedahkan Bandar Raya Kuala Lumpur kepada risiko berlakunya bencana banjir yang lebih kerap (muka surat 6-19). Ia juga secara jelas mendedahkan untuk tempoh yang sama dari tahun 2015 hingga 2020, Kuala Lumpur mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali (muka surat 6-28). Ini juga merupakan pertambahan bilangan banjir kilat dari 5 kali pada tahun 2017 kepada 13 kali dalam tahun 2020 (peningkatan hampir 3 kali ganda).

Saya telah membangkitkan perkara ini semasa persidangan Parlimen baru-baru ini mengenai kurangnya maklum balas dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan dan pendedahan ini. Kemusnahan yang disebabkan oleh banjir minggu lepas sepatutnya menyedarkan SPRM dan DBKL untuk mengambil tindakan segera. Saya tidak akan mengizinkan kejadian banjir di Kolam Air dan di Kampung Kasipillay yang berlaku di dalam kawasan Parlimen Segambut tidak dilayan dengan sewajarnya. Sebagai Ahli Parlimen mereka, saya menuntut SPRM mengambil tindakan segera mengenai pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara. SPRM mesti bertindak dalam tempoh 24 jam dengan melakukan siasatan segera dan memaklumkan hasil siasatan mereka kepada penduduk Kuala Lumpur. Semua maklumat secara jelas dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk kronologi dan kegagalan jawatankuasa yang meluluskan. Jika Perdana Menteri serius mahu menangani isu banjir ini, beliau tidak boleh terlepas perkara paling penting ini.