Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjelaskan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz yang telah menulis surat sokongan untuk melantik anak sendiri sebagai ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga. Tindakan Ikmal memberikan surat sokongan melantik anaknya sebagai ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga ialah gejala salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang sedang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)
Dalam surat Ikmal kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri bertarikh 5 Jun, Ismail Sabri telah meminitkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyatakan persetujuannya untuk melantik anak Ikmal sebagai Pengarah Pharmaniaga. Pemegang saham terbesar Pharmaniaga ialah Boustead Holdings. Manakala LTAT merupakan pemegang saham terbesar Boustead Holdings dan juga pemegang saham dalam Pharmaniaga.
Tiada keraguan di sini bahawa SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal telah meminta jawatan yang akan menguntungkan anaknya sendiri menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Ikmal bukan sahaja telah mengaku bahawa beliau menulis surat sokongan tersebut, malah telah mengaku bahawa tindakan itu adalah salah dan telah menarik balik surat tersebut.
Tindakan mengeluarkan surat sokongan bagi melantik anak sendiri, sekali dengan persetujuan Ismail Sabri, jelas melanggar salah satu kesalahan SPRM meminta rasuah ataupun habuan. Jelas di sini bahawa sudah terlambat untuk Ikmal menafikan tanggungjawab kerana beliau sudahpun melakukan tindakan mengeluarkan surat sokongan tersebut untuk mendapatkan habuan bagi anak sendiri dengan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Malah, tindakan untuk mendapatkan habuan tersebut boleh dianggap telah genap dan lengkap apabila Datuk Seri Ismail Sabri bersetuju dengan cadangan Ikmal untuk melantik anaknya itu. Ini merupakan tindakan 3-dalam-1 iaitu salah guna kuasa, nepostisme dan rasuah – sekaligus merupakan malapetaka negara kerana ada pihak yang menggunakan jawatan awam bagi kepentingan peribadi.
Setakat ini, tiada apa-apa berita mahupun perkembangan terbaru daripada SPRM tentang isu ini. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang, tidak kira seorang VIP ataupun seorang rakyat biasa. SPRM harus mengambil tindakan segera terhadap Ikmal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengamalkan dasar pilih kasih.