Skip to content

SPRM perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kenapa mereka tidak mempunyai sikap yang sama terhadap ahli politik BN yang menulis surat untuk membantu pemilik premis haram

Saya sebenarnya semakin kerap menggigil ketakutan semenjak Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab ke atas portfolio Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Saudara Phee Boon Poh ditahan pada hari Jumaat dan dikenakan tahanan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dikenakan tindakan demikian kerana telah menulis dua pucuk surat yang meminta tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah kilang haram ditangguhkan sehingga satu penyelesaian yang baik kepada semua pihak boleh dicapaii.

Saya seperti Saudara Phee, tidak mendapat sebarang saham daripada mana-mana kilang haram. Lebih penting lagi, seperti Phee, saya tidak menerima apa-apa balasan apabila berjabat tangan dengan mereka yang datang berjumpa, baik yang mendiami bangunan haram, penjaja haram, tokong haram, kuil haram, gereja haram, setinggan atau kilang haram; untuk meminta bantuan saya.

Bimbang juga saya sekiranya pihak SPRM datang mengejar saya kerana saya juga pernah menulis beberapa pucuk surat kepada Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya menangguhkan tindakan meroboh dan menghalau penghuni-pengguni premis haram seperti di atas. Surat saya ada kalanya berjaya, kadang-kala tidak.

Berikutan apa yang telah berlaku terhadap Saudara Phee, saya memohon jasa baik pihak SPRM supaya memberi notis terlebih dahulu supaya saya boleh menyerah diri ke lokap SPRM terdekat, jika betul semua surat yang ditujukan kepada DBKL itu salah di bawah Akta SPRM 2009.

Jika benar saya seorang saspek di mata SPRM dan perlu ditahan reman sehingga lima hari, saya perlu meminta para penghuni premis haram khususnya penduduk setinggan supaya meminjam wang secukupnya untuk membayar peguam, kerana mereka juga pastinya akan ditahan bersama-sama saya. Begitu juga dengan pegawai DBKL dan Datuk Bandar yang mungkin akan disoal siasat oleh pihak SPRM, berikutan surat saya itu.

Selain misteri kenapa Saudara Phee perlu digari tidak seperti Exco UMNO Johor yang tidak digari ketika dibawa ke mahkamah, SPRM perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kenapa mereka tidak mempunyai sikap yang sama terhadap ahli politik Barisan Nasional (BN) yang menulis surat untuk membantu pemilik premis haram.

Atau adakah SPRM boleh mengesahkan bahawa ahli politik BN langsung tidak mengeluarkan surat seperti itu?