Semalam, Menteri Pertahanan, Dato Seri Ismail Sabri telah mengumumkan Majlis Keselamatan Negara telah bersetuju bahawa berkuat kuasa 1 April untuk membenarkan penyokong bola sepak pergi menonton perlawanan bola di stadium, dengan syarat hanya 10% atau 2,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton, bagi negeri yang berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bagi negeri-negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, hanya 25% atau 8,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton.
Keputusan untuk membuka semula stadium bola sepak ini dilihat sebagai keyakinan pihak kerajaan terhadap pihak berkuasa dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan. Sekiranya itu adalah pewajaran yang diberikan oleh pihak kerajaan, keyakinan tersebut juga seharusnya wujud dalam pembukaan semula parlimen. Tambahan pula, SOP bagi memantau dan menjaga 222 ahli parlimen semestinya lebih mudah dan terurus daripada menjaga 8000 orang.
Selain itu, pelbagai langkah telah pun diambil bagi mengurangkan risiko pendedahan wabak Covid-19 di parlimen. Ujian saringan Covid-19 secara berkala untuk semua orang di parlimen, penghadang di sekitar kubikel speaker, pematuhan SOP yang ketat, bahkan masa perbahasan juga dipendekkan. Tiada alasan untuk parlimen tidak dibenarkan bersidang!
Pembukaan pelbagai jenis sektor cukup membuktikan yang negara kita bukan di dalam keadaan darurat. Sekiranya Malaysia benar-benar berada di dalam situasi yang genting dan darurat, apakah logik perlawanan bola sepak, majlis perkahwinan besar-besaran, dan majlis hiburan seperti Anugerah Juara Lagu dijalankan? Semestinya bilangan mereka yang hadir ke majlis-majlis seperti ini lebih ramai dari persidangan di parlimen.
Tamatkan darurat dan benarkan parlimen bersidang!