Skip to content

Strategi anti-pandemik perlu dilaraskan semula dan dimantapkan

Berdasarkan kemunculan varian baharu COVID-19 yang mempunyai kemampuan transmisi sebanyak 70% lebih mudah di UK, Malaysia harus segera menyekat perkhidmatan pengangkutan udara dan laut dengan negara tersebut. Antara sebab utamanya ialah sistem penjagaan kesihatan negara kita mungkin tidak mampu untuk berdepan, apatah lagi mengatasi akibat daripada penyebaran meluas varian terbaharu COVID-19 ini. Pada waktu ini juga, terdapat 50 negara atau kawasan yang telah menghentikan perkhimatan pengangkutan udara dan laut negara mereka dengan negara UK.

Pada masa ini, disebabkan oleh penyebaran jangkitan virus dalam komuniti di Malaysia ini masih lagi berada dalam tahap yang membimbangkan, dan juga tahap pematuhan SOP yang rendah dalam kalangan masyarakat, adalah relevan untuk pihak kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan pemulihan. Selain itu, daripada mempertimbangkan untuk menamatkan perintah kawalan pergerakan dan minta masyarakat untuk disiplin kendiri, adalah lebih wajar untuk pihak kerajaan mengumumkan bagaimana dan di mana jangkitan berlaku, demi pencegahan wabak yang lebih berkesan.

Kementerian Kesihatan sewajarnya memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai penyebaran wabak dalam kalangan komuniti di Malaysia. Hal ini kerana adalah tidak cukup untuk masyarakat sekadar mengetahui jumlah kes yang telah disahkan sahaja. Misalnya, Kluang mempunyai 234 kes yang telah disahkan pada 21 Dis, tetapi tidak dinyatakan bahawa sebenarnya semua kes ini adalah berasal dari Penjara Kluang, dan juga hasilan ujian ‘swab test’ yang dijalankan secara besar-besaran. Pengumuman maklumat tambahan yang lebih terperinci dapat menghindarkan spekulasi yang tidak patut berlaku, sekaligus memudahkan pihak media untuk mengeluarkan maklumat yang tepat, menenangkan rakyat jelata dan mengelakkan berlakunya kejutan dan implikasi dalam kalangan perniagaan dan kegiatan ekonomi.