Saya merujuk kepada rancangan Suara Veteran yang akan menganjurkan Perjumpaan Veteran 2022 pada 6-6-2022. Perhimpunan aman dan kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan perlu mendengar rintihan dan suara hati veteran Angkatan Tentera Malaysia yang telah bersara.
Suara Veteran sebelum ini mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut pelarasan dan pelaksanaan pencen kepada veteran yang tidak menerima faedah itu. Mereka turut menuntut pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku, pencen anggota sukarela yang dikerah sepenuh masa dan mengkaji semula pencen hilang upaya veteran.
Saya mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang untuk menghalusi isu-isu yang dibangkitkan oleh veteran ATM dan mendengar juga maklumbalas daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbendaharaan serta mencadangkan penyelesaian atau penyelarasan serta pindaan terhadap undang-undang yang berbangkit.
Memandangkan Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Parlimen pada hujung tahun ini (seperti dilaporkan https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/912553/tabung-persaraan-ltat-akan-dijamin-kerajaan-hishammuddin), maka pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti ini juga boleh dimasukkan sekali dalam pindaan tersebut dan diangkat ke Parlimen pada hujung tahun ini.
Adalah amat dikesali bahawa kerugian dan ketirisan berbillion-billion ringgit Kerajaan dari segi perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang sepatutnya boleh digunakan untuk mempertingkatkan kebajikan anggota ATM dan juga veteran ATM. Saya mengulangi permintaan saya bahawa satu Kertas Putih berkenaan dengan Perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dikemukakan oleh Kerajaan di Parlimen untuk perbahasan ahli-ahli Parlimen. (Kenyataan saya sebelum ini https://www.malaysiakini.com/news/619227)